samedi 28 mars 2015

IS: 75 telah ditahan polis



KUALA LUMPUR 28 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menahan seramai 75 individu yang dipercayai terlibat dengan elemen kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara ini.


Penahanan itu antaranya melibatkan rakyat tempatan yang ingin menyertai kumpulan tersebut di Syria dan Iraq serta warga asing yang memasuki negara ini dengan fahaman IS.



Terbaharu, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman menahan dua warga Iraq kerana disyaki terlibat membuat ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu negara pada Khamis lalu.



Penahanan melibatkan ugutan serangan seumpama itu merupakan kali pertama dilakukan oleh PDRM.



Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota perisikan dari Iraq telah bertemu dengan seorang pegawai khas di Pejabat Kedutaan Besar Qatar serta mengugut untuk melakukan serangan terhadap kedutaan terbabit.



Menurut sumber, ugutan serangan terhadap kedutaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan fahaman IS yang amat bencikan kerajaan Arab Saudi.



“Namun polis masih menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan melibatkan ugutan itu,” katanya.



Sebelum ini, polis turut mengesan terdapat ahli kumpulan IS rakyat tempatan yang berada di Syria membuat ugutan bunuh terhadap ahli keluarga mereka menerusi Facebook.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire