dimanche 29 mars 2015

Peroleh kontrak RM500j






Abbyamir (dua, kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Abdul Mohsen sambil diperhati Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Zulkifli Mahmud di Kuala Lumpur, semalam.





SYARIKAT perisian keselamatan internet tempatan, 1Machine System Sdn Bhd (1Machine) menandatangani perjanjian kontrak pengedaran bernilai RM500 juta dengan Al Rifai Corporation (Al Rifai) dari Kuwait.



Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine, Abbyamir Sapie berkata, perjanjian kontrak tersebut bertujuan meluaskan pasaran 1Machine ke Kuwait serta Wilayah Asia Barat dan Afrika Barat (Mena) dalam tempoh 15 tahun.



“Melalui kerjasama ini 1Machine akan memanfaatkan jaringan dengan Al Rifai untuk mengembangkan dan mengukuhkan kehadiran produk kami, Perisai di Kuwait serta Wilayah Mena.

“Jadi sebagai permulaan kami akan membekalkan tiga jenis produk keselamatan internet yang lebih dikenali sebagai antivirus bagi perlindungan untuk individu, profesional dan perniagaan melalui Al Rifai,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak perjanjian tersebut di Kuala Lumpur, semalam.



Menurut Abbyamir, buat masa ini, 1Machine mempunyai 50,000 pengguna produk Perisai dan melalui kerjasama dengan Al Rifai syarikatnya berharap ia akan bertambah.



“Saya menjangkakan pertumbuhan pengguna Perisai akan meningkat antara 300 hingga 400 peratus dari jumlah yang kami ada sekarang bagi tahun pertama.



“Saya yakin akan berlaku peningkatan secara berperingkat bagi jumlah pengguna kami memandangkan Al Rifai akan menembusi sektor kerajaan, swasta, komersial dan peruncitan di Kuwait dan diikuti Wilayah Mena bagi memasarkan Perisai,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi Al Rifai, Abdul Mohsen M Al Sayed berkata, Wilayah Mina dan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi sebanyak 8.1 peratus setiap tahun.



“Ia merupakan pasaran yang berkembang dan melalui pasaran GCC kita boleh membawa produk tersebut ke Wilayah Mena kerana produk Malaysia merupakan produk yang berkualiti tinggi,” katanya.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire