lundi 30 mars 2015

Rusuhan Piala AFF Suzuki:




MOHD. AMINUDDIN HAMDAN



SHAH ALAM 30 Mac – Lima lelaki termasuk dua beradik didenda RM2,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, tahun lalu.


Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin turut memerintahkan tertuduh Amirul Akmal Nooradzhar, 23; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; Muhamad Izzat Mohd. Khir, 26, serta dua adik-beradik Mohd. Aminuddin Hamdan, 35, dan Noor Hadi Hamdan, 30, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.



Pada Jumaat lalu, kelima-lima tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan tersebut di hadapan majistret yang sama.



Sebelum ini mereka mohon dibicarakan atas tuduhan bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam, 7 Disember 2014.



Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip sementara peguam Muhammad Hidhir Mustapa mewakili Muhammad Naquiddin, Amirul Akmal dan Zulhelmy Akmal, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadi diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sementara peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Muhamad Izzat.



Terdahulu dalam rayuan, mereka memohon mahkamah mengenakan hukuman denda kerana telah menyesal dan ia merupakan kesalahan pertama.



Mereka turut memberi alasan telah memberi kerjasama terhadap pihak polis dengan menyerah diri sebaik sahaja gambar-gambar mereka disiarkan oleh media massa.



Berdasarkan laporan akhbar, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam dalam kejadian 7 Disember tahun lalu.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire