Antara pengunjung yang datang ke Pantai Teluk Tongkang, semalam.
< 1 / 1 >
KUANTAN - Pengunjung Pantai Teluk Tongkang, Teluk Cempedak dekat sini terkejut apabila mereka dikenakan caj perkhidmatan untuk berkelah kerana tidak pernah dimaklumkan secara terbuka kepada orang ramai.
Adun Teruntum, Sim Chong Siang berkata, dia menerima panggilan daripada pengunjung terbabit yang datang ke pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga untuk berkelah.
Menurutnya, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM5 sehingga RM30 kepada kumpulan yang mahu berkelah atau mengadakan jamuan BBQ.
Saya pun terkejut kerana sebelum ini pantai berkenaan di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan tiada maklumat rasmi dimaklumkan, katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata, caj perkhidmatan itu dikenakan kepada pengunjung sejak tiga bulan lalu namun sehingga semalam, beliau tidak pernah menerima aduan berkaitan perkara itu.
Justeru, beliau berharap, MPK akan memaklumkan perkara itu kepada orang ramai supaya mereka bersedia dan jelas mengenai bayaran perkhidmatan yang dikenakan.
Ramai yang tidak tahu dan mereka tertanya-tanya dengan bayaran berkenaan dan kenapa perlu dikenakan bayaran kepada pengunjung yang mahu berkelah di pantai ini, katanya.
Sementara itu, penjaga kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Rafael berkata, dia sudah tiga bulan menjalankan tugas berkenaan.
Menurutnya, bayaran itu dikenakan kerana caj perkhidmatan termasuk keselamatan dan kemudahan yang disediakan.
Kami bantu pengunjung bermasalah selain menyediakan tempat BBQ dan perkhidmatan tandas, katanya.
Rafael berkata, tugasan memantau akan diberikan kepada pekerja bagi memastikan persekitaran bersih dan selesa untuk kemudahan pengunjung.
sumber:http://ift.tt/1DiTdI1
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire