Mohd. Najib Abd. Hamid (kanan) menunjukkan tempat longgokan sampah di perdu pisang tempat seorang bayi dijumpai di Kampung Charuk Kapas, Kuala Pegang, Baling, Kedah, semalam. Utusan/Norlia Ramli
BALING 4 Mei – Kisah wanita ditahan kerana membuang bayinya yang baharu lahir keluar dari tandas rumah saudaranya di Kota Tinggi, Johor kelmarin nampaknya tidak langsung dijadikan pengajaran apabila kejadian serupa berulang lagi hari ini.
Kejadian kali ini melibatkan seorang bayi baharu lahir yang dibuang ibunya di kawasan belukar yang menjadi tempat longgokan sampah di Kampung Charuk Kapas, Kuala Pegang dekat sini.
Bayi itu bernasib baik kerana tidak sempat menjadi habuan binatang buas apabila ditemukan sekumpulan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika sedang mengesan seorang suspek kes jenayah dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian.
Ketua Rondaan SRS, Mohd. Najib Abd. Hamid, 54, berkata, dia bersama 10 anggota SRS menjalankan rutin harian mengawal kampung bagi mencegah kegiatan jenayah.
Menurutnya, semasa meronda mereka terserempak dengan suspek yang mencurigakan dan cuba mengekorinya hingga ke belukar tersebut tetapi lelaki itu menghilang.
“Tiba-tiba kami terdengar tangisan seorang bayi di belakang sebuah rumah berhampiran kawasan belukar itu dan terkejutnya apabila menemukan seorang bayi lelaki yang menangis kesejukan tanpa sebarang kain membaluti tubuhnya selain masih dipenuhi darah dan bertali pusat.
“Kami mengambil bayi tersebut dan kemudian menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Najib memberitahu, mereka kemudian mengesan ibu kepada bayi malang itu melalui maklumat daripada abang iparnya.
“Abang mangsa mengesyaki adik iparnya yang tinggal bersamanya terlibat dalam kes pembuangan bayi itu kerana melihat kesan darah di luar dan di dalam rumah.
“Nasib baik kami segera menemukan bayi comel itu, jika tidak ia pasti menjadi habuan binatang liar terutamanya **** hutan ataupun ular sawa yang pernah dilihat di situ,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Wari Kiew berkata, pihak polis sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.
“Bayi malang itu dan suspek (ibunya) yang berusia 22 tahun kini berada di Hospital Daerah Baling bagi mendapatkan rawatan lanjut dan mereka berada dalam keadaan stabil.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan,” kata Wari.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire