lundi 4 mai 2015

Dua peragut cedera dibelasah orang ramai


Anggota polis memeriksa motosikal yang dinaiki dua orang peragut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Kelantan, semalam. Gambar Ihsan polis

KOTA BHARU 4 Mei – Dua lelaki bukan sahaja berputih mata kerana tidak dapat menikmati hasil ragut malah salah seorang daripadanya patah jari serta hampir putus telinga kiri selepas dibelasah orang ramai yang mencekup mereka di Perumahan Tanjung Chat, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC telah meragut beg tangan wanita berusia 50 tahun bagaimanapun gagal melarikan diri apabila ditangkap orang ramai di kawasan tersebut.

Menceritakan kejadian, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, mangsa sedang berada di kawasan pagar rumahnya sebelum salah seorang lelaki terbabit datang dan meragut beg tangannya.

Menurutnya, anak mangsa dan seorang saudaranya yang melihat kejadian itu cuba memberi bantuan namun penjenayah itu telah bertindak memukul mereka menggunakan kayu.

“Penjenayah tersebut kemudian melarikan diri dengan motosikal namun kira-kira sejam kemudian mereka berjaya ditangkap orang ramai dan dipukul,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rohaimi memberitahu, salah seorang daripada suspek terbabit telah mengalami kecederaan teruk di bahagian telinga kiri termasuk luka di pipi dan patah jari akibat dipukul.

“Suspek berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan stabil, manakala seorang lagi suspek hanya mengalami cedera ringan dan kini masih dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek berusia 30-an itu berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat dan mempunyai rekod lampau berhubung kes dadah selain didapati menunggang motosikal curi,” katanya.

Tambah Rohaimi, setakat ini pihaknya masih mengesan beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM1,000, buku bank dan barangan berharga lain.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire