NEW YORK 29 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki di Amerika Syarikat (AS) menjadi pesakit paling muda menjalani pembedahan pemindahan kedua-dua belah tangannya yang kudung akibat jangkitan kuman.
Zion Harvey berusia lapan tahun, berasal dari Baltimore, Maryland, selamat menjalani pembedahan selama 10 jam pada awal bulan ini di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia.
Selain tangan, Harvey turut kehilangan kedua-dua belah kakinya sejak usia dua tahun dan kini menggunakan kaki palsu untuk bergerak.
“Perkara yang paling ditunggu adalah untuk mendukung adik saya,” kata Harvey seperti yang dilaporkan portal Mirror.
Hanya 15 kanak-kanak dibenarkan menderma tangan pada setiap tahun dan situasi itu menyukarkan doktor untuk memilih tangan yang sesuai kepada pesakit.
Namun, sebanyak 40 pakar bedah yang diketuai oleh Dr. L. Scott Levin, berjaya menemukan saiz dan warna tangan yang sesuai untuk Harvey, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam dunia perubatan apabila berjaya menyambungkan tangan baharu bagi kanak-kanak tersebut.
“Kejayaan ini merupakan langkah bersejarah untuk kita,” katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire