Keningau: Seorang lelaki berusia 30-an pengunjung pusat snuker cedera selepas sebuah kereta merempuh premis berkenaan di Jalan Padang Bandaran, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7.50 malam itu, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Keningau menggunakan kenderaan ambulans dan kini dilaporkan stabil.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik menerima laporan daripada orang awam pada 7.54 malam, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Gen2 yang terbabas sendiri sebelum merempuh premis snuker sehingga menyebabkan seorang pengunjung di kedai berkenaan cedera.
"Namun mangsa sudah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan ambulans sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, ketika kejadian beberapa pengunjung berada di dalam premis snuker tetapi berjaya menyelamatkan diri, namun seorang daripada mereka gagal mengelak lalu dirempuh.
- See more at: http://ift.tt/1SgtoQe
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire