mercredi 29 juillet 2015

Bunuh pegawai AmBank: Bekas pengawal keselamatan kekal digantung


NORAZITA ABU TALIB

PUTRAJAYA 29 Julai – Bekas pengawal keselamatan warganegara Indonesia, La Ode Ardi Rasila kekal menjalani hukuman gantung kerana membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya, Norazita Abu Talib, dua tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali memutuskan demikian secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa terdapat bukti keterangan yang mencukupi bagi menyokong dapatan fakta hakim bicara yang mensabitkannya dengan tuduhan membunuh.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Rahman Sebli mencapai ketetapan bahawa sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah selamat untuk dikekalkan.

Kuorum itu turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Ogos tahun lalu yang memerintahkan perayu dihukum mati kerana melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun ketika melakukan rompakan dengan niat menyebabkan kematian mangsa.

La Ode, 38, yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa membunuh Norazita, 37, di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati.

Peguam S. Selvi yang mewakili perayu berhujah, tembakan itu merupakan satu kemalangan kerana anak guamnya tidak berniat menekan picu selepas mengepam senjata api tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon agar sabitan dan hukuman terhadap kedua-dua tuduhan diketepikan dan digantikan dengan tuduhan merompak di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berhujah, La Ode memang berniat melepaskan tembakan kerana dia mengetahui cara mengendalikan senjata itu manakala tembakan tidak akan dapat disasarkan tanpa menarik picu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya menyatakan beliau tidak dapat menerima keterangan tertuduh bahawa tembakan telah terlepas sebaik sahaja dia pam senjata itu akibat kecacatan alat berkenaan.

Malah katanya, pakar senjata api telah melakukan ujian terhadap senjata berkenaan dan mendapati peralatan itu berfungsi dengan baik manakala tertuduh sememangnya mengetahui cara mengendalikan senjata terlibat.

Menurut Hakim Akhtar lagi, rompakan tersebut bukan berlaku secara spontan dan tanpa dirancang berdasarkan pengakuan tertuduh bahawa rompakan itu telah dirancang dari pagi semasa bertugas di bank berkenaan.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire