mercredi 29 juillet 2015

Semua mesti terima


MUKHRIZ TUN MAHATHIR (tiga dari kanan) beramah mesra dengan ahli Persatuan Pegawai Takbir Negeri Kedah dalam majlis Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir Kedah di Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 29 Julai - Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mesti diterima oleh semua pihak memandangkan beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, perubahan itu juga telah difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh Najib termasuk mengenai reaksi dan persepsi yang akan timbul dalam kalangan rakyat serta ahli-ahli UMNO.

“Seperti mana yang kita tahu Perdana Menteri memang ada hak untuk buat sebarang rombakan dan beliau gunakan kuasa untuk lakukan rombakan semalam.

“Kita mesti terima apa sekalipun perubahan, saya rasa tentu beliau sudah fikir masak-masak mengenai apa yang terbaik mengenai kerajaan dan politik seperti yang beliau nyatakan semalam,” katanya selepas majlis Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir Kedah di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sebelum mengumumkan rombakan Kabinet itu, Perdana Menteri mungkin telah menjalankan kajian tertentu untuk mengukuhkan rasional terhadap keputusan yang diambil itu.

“Sekarang ini, kita tentunya berusaha untuk kukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” jelasnya.

Diminta mengulas pertemuannya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Mukhriz memberitahu, perjumpaan selama dua jam itu hanya sekadar untuk mengenang jasa beliau yang banyak membantu Kedah sebelum ini.

“Saya jenis orang yang kenang jasa, Muhyiddin banyak membantu Kedah sebagai Menteri Pendidikan dan banyak sekolah termasuk sekolah agama rakyat mendapat manfaat hasil bantuan beliau.

“Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk berjumpa untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau, tidak ada perbincangan lain dilakukan, hanya sembang-sembang kosong,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju negeri ini selepas rombakan Kabinet, Mukhriz menjelaskan, beliau akan meneruskan pelbagai perancangan bagi memastikan hasrat memajukan negeri ini tercapai.

“Setahu saya, ada satu sesi penerangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudian ada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini.

“Saya ingat tumpuannya mesti kepada keputusan yang terbaru dibuat oleh Najib dan saya tidak dengar apa-apa berita perbincangan mengenai Kedah,” jelasnya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire