mercredi 29 juillet 2015

Najib tidak pernah guna wang 1MDB, kata Ahmad Maslan


Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Ahmad Maslan susulan terbocor klip video menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa presiden Umno itu mengakui menerima wang tersebut.

Ahmad, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, dakwaan bekas timbalan perdana menteri tersebut mengatakan wang sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke akaun peribadi Najib tidak betul.

"Itu tidak betul, tidak disalurkan atau sebagainya," kata Ahmad yang ditemui semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri Matrade di Wisma Matrade malam tadi.

Ahmad bagaimanapun mengakui Najib ada memberikan taklimat mengenai dakwaan tersebut tetapi tidak mengatakan terdapat wang disalurkan ke akaun banknya.

"Sebenarnya presiden sudah memberi taklimat kepada kami ahli MT tentang perkara berkaitan. Beliau tidak pernah menggunakan wang 1MDB dan masuk akaunnya," kata Ahmad lagi.

Dalam video yang tersebar semalam, Muhyiddin kelihatan sedang memberitahu tetamu di rumahnya, beliau bersemuka dengan Najib berhubung laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat berkaitan 1MDB yang didakwa didepositkan ke akaun peribadi perdana menteri itu.

Awal bulan ini, WSJ dan laman web pendedah maklumat Sarawak Report melaporkan mengenai pemindahan wang itu termasuk satu jumlah besar yang didepositkan pada Mac 2013 menjelang pilihan raya umum ke-13.

Perdana menteri setakat ini menafikan mengambil wang daripada 1MDB untuk “kepentingan peribadi,” tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai pindahan wang itu.

Najib juga dilaporkan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang ke atas WSJ.

Akaunnya yang didakwa menerima wang itu ditutup sejak pendedahan itu.

Najib turut menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dituduhnya bekerjasama dengan ejen asing menentang pentadbirannya. – 29 Julai, 2015.

Sumber: http://ift.tt/1KAZYFk


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire