KUALA LUMPUR 1 Ogos Orang Melayu diingatkan supaya tidak mudah memberi alasan dan menyalahkan kaum lain terutama Cina jika mereka gagal bersaing dalam bidang ekonomi.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang Melayu harus mengubah sikap selain memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan bagi mengatasi kelemahan itu.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah menegaskan, orang Melayu sepatutnya sedar dengan keadaan semasa dalam persekitaran mereka hari ini agar dapat keluar dari kepompong.
Orang Melayu kalau mahu berjaya, mereka kena buang sikap suka menyalahkan kaum lain terutama Cina apabila gagal bersaing dalam ekonomi, sebaliknya kena kuat bekerja dan berdikari.
Mereka kena sedar tentang perkembangan sosio dan politik hari ini yang semakin mencabar sekali gus insaf agar tidak terlalu bergantung dengan kerajaan semata-mata, katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Bersama Tan Sri Sanusi Junid Mengenai UMNO dan Bangsa Melayu anjuran Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden Pemikir, Tan Sri Abdul Aziz Yassin; timbalannya, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan itu, Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Sementara itu, Sanusi berkata, ramai orang Melayu termasuk generasi muda hari ini yang kurang faham tentang sejarah negara sepatutnya bangkit dan berfikiran positif dalam memajukan bangsa mereka.
Katanya, selama ini mereka banyak dipengaruhi elemen-ele*men negatif dari luar sehingga melayakkan orang Melayu me*nerima bahana.
Mereka sepatutnya berusaha untuk maju terutama dalam ekonomi dan bekerjasama dengan kaum Cina yang biasanya mudah bekerjasama dengan golongan yang sudah berjaya, katanya.
Sementara itu, sewaktu mengulas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Sanusi berkata semua pihak terutama kerajaan sewajarnya terbuka dengan pandangan daripada mana-mana pihak.
Beliau menegaskan, kritikan terhadap 1MDB itu termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya tidak dianggap sebagai kritikan yang negatif.
Kritikan Dr. Mahathir itu sepatutnya tidak dianggap sebagai negatif, apatah lagi dengan menuduh beliau sebagai konspirator atau pengkomplot dalam menyuarakan pendapat tentang 1MDB.
Sebaliknya, ia adalah kritikan bagi mencari jalan penyelesaian dalam isu itu. Yang patut disiasat adalah siapa dalang di sebalik 1MDB yang mahu menjatuhkan ekonomi negara, katanya.
- See more at: http://ift.tt/1IwwMf4
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire