Antara pemborong yang dikenal pasti menjual sayur tanpa label.
KUALA LUMPUR - Kehadiran penguatkuasa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Borong Kuala Lumpur, membuatkan segelintir pemborong 'kecut perut' sehinggakan ada antaranya enggan mengaku sayur jualan milik mereka.
Ia ekoran kesalahan Pematuhan Peraturan GPL, iaitu Peraturan-peraturan Fama (Pengedaran, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008, yang dikenal pasti menerusi hasil pemeriksaan.
Pengarah Bahagian (Cawangan Penguatkuasaan) Fama, Mohd Nawawi Harun berkata, kira-kira 75 peratus pemborong di situ masih gagal mematuhi Peraturan GPL, meskipun surat amaran dikeluarkan sejak tahun lalu.
Menurutnya, kesalahan paling ketara adalah ketiadaan label pembekal yang membolehkan punca hasil pertanian dijual itu dikenal pasti.
"Pada tahun lalu, sebanyak 537 surat amaran dikeluarkan kepada pengeluar, pembekal, pemborong dan peruncit hasil pemeriksaan seluruh semenanjung Malaysia. Bagi pasar borong sahaja sebanyak 83 surat amaran diberi.
"Bagaimanapun pemeriksaan dibuat mendapati pemborong masih enggan bekerjasama untuk patuh peraturan yang ditetapkan. Mereka tidak mengaku hak milik kerana takut tindakan diambil," katanya selepas selesai operasi, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan pelabelan memudahkan DBKL mahupun makmal sisa baki racun mengambil tindakan secara terus kepada petani yang tidak mematuhi apa yang ditetapkan.
"Tindakan berterusan akan dilaksanakan Fama dan DBKL menerusi strategi lautan biru bagi memastikan pelanggaran peraturan GPL tidak berulang, seterusnya menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.
"Mana-mana yang didapati berlaku pelanggaran peraturan GPL, boleh dikenakan denda RM1,000 bagi individu dan RM25,000 bagi syarikat dan kesemua barang jualan akan di sita. Pemeriksaan dan penguatkuasaan juga akan dilaksanakan di pasar raya-pasar raya," katanya.
Operasi disertai 30 anggota penguatkuasa Fama dan DBKL yang bermula jam 3 petang itu menyaksikan tindakan sita dijalankan pihak DBKL ekoran tindakan pemborong meletakkan sayur-sayuran atas lantai tanpa alas seperti mana yang ditetapkan.
Terdapat juga kes di mana pemborong bertindak mencampurkan cili hijau import dan tempatan dan dijual dengan harga tempatan bagi mengaut keuntungan tinggi.
Sebanyak 20 sampel sayur-sayuran juga diambil oleh kakitangan Makmal Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Alam Sekitar DBKL, bagi melakukan analisa berkaitan sisa baki racun.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire