Sepasang suami isteri memohon jasa baik HTJ mempercepatkan pembedahan Harris yang cacat pendengaran.
JASIN - Sepasang suami isteri memohon jasa baik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban supaya mempercepatkan pembedahan memasukkan alat bantuan pendengaran di telinga anaknya.
Muhammad Saiful Maizan Yap, 23, berkata, anaknya Muhammad Harris Haikal, 3, hanya mempunyai masa setahun sahaja lagi untuk memasukkan peralatan itu kerana difahamkan selepas usia 4 tahun, pembedahan tidak boleh dilakukan lagi, terhadap anaknya yang cacat pendengaran.
Muhammad Saiful yang hanya bekerja sebagai buruh binaan dan berpendapatan RM800 sebulan bagaimanapun tidak mampu membawa anaknya ke hospital pakar untuk rawatan melibatkan belanja hampir RM160,000.
"Sejak tahun lalu, setiap minggu kami terpaksa berulang alik ke hospital itu berjumpa pakar.
"Kami memang mengharapkan jasa baik hospital untuk melakukan pembedahan segera supaya anak saya boleh mendengar seperti kanak-kanak normal lain," katanya semasa ditemui di kediamannya di KM13 Kampung Bukit Tembakau, di sini, semalam.
Ibu kanak-kanak itu, Nabilah Azman, 20, berkata, mereka mengesan Muhammad Harris mengalami cacat pendengaran sejak seminggu dilahirkan kerana tidak memberi tindak balas apabila berbunyi sesuatu.
Selepas dua bulan kemudian, doktor mengesahkan kecacatan berkenaan dan memberikan alat bantuan pendengaran yang dipasang ditelinga.
"Walaupun Harris pakai tetapi dia sekejap dengar sekejap tidak sebab tiada tindak balas apabila kita bercakap," katanya.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Harris pada usia 9 bulan terkena air panas mengakibatkan jarinya membengkok dan mengalami kecacatan di bahagian tangan kiri.
Kejadian yang berlaku waktu malam itu hanya disedari keesokan paginya.
"Tak sangka dia merangkak sehingga menumpahkan air termos dan memang kami tidak sedar sebab Harris tidak menangis.
"Selama sebulan dia dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Melaka dan sudah menjalani empat pembedahan," katanya menjelaskan esok (26 Mac) anaknya akan menjalani pembedahan membetulkan jari yang semakin membengkok.
Berikutan kesempitan hidup, pasangan berkenaan merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat mempertimbangkan semula permohonan bantuan kewangan untuk anaknya yang memerlukan kos tinggi bagi menerima rawatan di HTJ.
Katanya, permohonan pada Ogos tahun lalu ditolak JKM berikutan pendapatan isi rumah mampu menyara keluarga selain Harris pemegang kad Orang Kurang Upaya layak menerima rawatan percuma hospital kerajaan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan di nombor akaun Bank Simpanan Nasional milik Muhammad Saiful 0412629000144336.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire