NISSAN ALMERA merupakan kereta sedan segmen B yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada 2012 dengan harga antara RM64,887 dan RM77,549. Dengan harga yang begitu kompetitif, maka tidak hairanlah kereta yang dipasang secara komponen tercurai (CKD) di Serendah, Selangor ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga tempatan.
Memandangkan usia kenderaan ini di pasaran tempatan masih agak baharu, bilangan ahli kelab Nissan Almera di negara ini juga tidak sebanyak seperti kebanyakan kelab kereta yang sudah lama dan popular di negara ini, namun bilangannya semakin bertambah.
Keadaan itu tidak menghalang pemilik-pemilik kereta buatan syarikat Jepun ini untuk menubuhkan kelab bagi menghubungkan mereka yang berkongsi minat yang sama dalam permotoran. Antara kelab pemilik Nissan Almera yang aktif dan mempunyai ahli yang ramai ialah Nissan Almera Enthusiasts Crew (NAEC).
Menurut Setiausaha NAEC, Mohamad Fauzi Saad, kelab itu ditubuhkan pada Mac tahun lalu dan baru meraikan majlis sambutan ulang tahun pertama penubuhannya dengan berkonvoi bersama keluarga ke Port Dickson pada 28 dan 29 Mac lalu.
“Setakat ini, kami mempunyai lebih kurang 330 ahli dalam laman Facebook kelab manakala ahli yang berdaftar dengan kelab ini sebanyak 210 orang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kami tidak menetapkan sasaran berapa ramai ahli tetapi mengalu-alukan pemilik Nissan Almera yang ingin menyertai NAEC. Insya-Allah, dalam awal tahun hadapan kami akan mendaftarkan kelab ini sama ada di Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Sama seperti kelab permotoran lain, NAEC ditubuhkan untuk menyatukan semua pemilik Nissan Almera dan merapatkan silaturahim sesama pemilik serta dengan ahli kelab lain, di samping berkongsi penjagaan jentera serta maklumat lain termasuk aksesori tambahan serta alat ganti untuk mengubah suai kenderaan.
Selain itu, NAEC mengadakan aktiviti mingguan yang turut melibatkan gabungan kelab permotoran lain seperti boling, futsal, bengkel, bual santai di restoran dan pengambilan ahli baharu. Aktiviti bulanan kelab itu pula banyak melibatkan program kekeluargaan seperti berkonvoi beramai-ramai selain hari keluarga.
“Kami juga merancang mengadakan program bersama rumah kebajikan dan anak-anak yatim, belia benci dadah, kembara merdeka, derma darah bersama Kementerian Kesihatan, mengumpul dana kebajikan, pertandingan futsal antara kelab, demonstrasi pemasangan aksesori kereta dan beberapa program lain,” tambah Mohamad Fauzi.
Sepanjang 2014, NAEC telah mengadakan sekurang-kurangnya 17 program utama termasuk lepak santai atau sesi teh tarik (TT) bersama ahli kelab-kelab Nissan Almera lain seperti Nissan Almera Club Malaysia (NACM) dan Nissan Almera Owner Club N17 dan Almerianz KL (AKL) di Petaling Jaya, Selangor pada Februari lalu.
Mohamad Fauzi berkata, NAEC turut terlibat dalam beberapa program khidmat masyarakat dan kebajikan seperti konvoi amal bersama kelab kereta dan majlis berbuka puasa bersama anak yatim pada 2014.
“Program ini disiarkan dalam saluran satu Radio Televisyen Malaysia untuk program Aidilfitri tahun lalu. Ahli NAEC juga pernah ditemu ramah oleh stesen televisyen TV AlHijrah untuk program konvoi merdeka pada tahun lalu,” ujarnya.
Menurut Mohamad Fauzi, program-program berbentuk khidmat masyarakat seperti ini dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dapat meningkatkan jati diri ahli NAEC, sekali gus membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kelab kereta juga memainkan peranan yang besar dalam menyatu padukan rakyat.
“Kami berharap usaha kami ini dapat mengikis tanggapan segelintir orang yang beranggapan penubuhan kelab permotoran sebagai sesuatu yang membazir dan tidak berfaedah. Kami mahu menjadi ikon atau model kelab permotoran yang menyokong penuh aspirasi kerajaan dalam mencapai wawasan negara,” ujarnya.
Mereka yang berminat menyertai NAEC boleh melayari laman web almeraclubmalaysia.weebly.com atau laman Facebook kumpulan di http://ift.tt/1GRt2qp dan http://ift.tt/1R1P7Z2.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire