Azlan (kanan) menyerahkan replika cek kepada Ahmad Zaki. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
SHAH ALAM - Menyedari kepentingan alat pembesar suara kepada sekolah agama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil memberi sumbangan peralatan tersebut kepada 99 sekolah agama seluruh Selangor, Selasa lalu.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, pemberian peralatan itu bernilai RM243,723.68 keseluruhannya atau RM2,461.85 seunit sebagai sumbangan zakat perniagaan perbadanan itu kepada sekolah agama negeri ini.
"PKNS mengambil inisiatif untuk memberi sumbangan ini bagi memenuhi keperluan pihak sekolah sebagai nilai tambah kepada kemudahan yang sedia ada.
"Semoga sumbangan kecil PKNS ini mampu melancarkan lagi sesi pembelajaran mereka di sekolah dengan lebih selesa," katanya kepada Sinar Harian.
Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selagor (Jais), Ahmad Zaki Arshad.
Tambah Ishak, inisiatif tersebut adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS kepada institusi pendidikan Islam di Selangor menerusi pengagihan semula wang zakat PKNS selain mengembalikan semula keuntungan PKNS kepada masyarakat.
Katanya, PKNS berharap pemberian itu dapat menyumbangkan kepada usaha penyebaran ilmu pengetahuan dan membolehkan penganjuran aktiviti yang bermanfaat untuk pelajar.
"Kita turut mendapat kerjasama Jais bagi mendapatkan 99 nama sekolah yang memerlukan bantuan," katanya.
Penerima terharu
Penerima sumbangan pembesar suara terharu dan gembira dengan sumbangan yang diberikan PKNS dan berharap banyak lagi badan korporat membantu sekolah yang kurang berkemampuan.
Ketua Guru Kafa Al-Maarof, Johan Setia, Sanatan Halidak berkata, pihaknya bersyukur dan senang hati dengan pemberian dan sumbangan yang diberi PKNS ini kerana ia merupakan sumbangan yang pertama kali diterima sekolahnya.
"Sebelum ini, kami tiada alat pembesar suara, yang ada pun sekadar cukup syarat saja. Sebagai sekolah Kafa, kami perlu mencari dana sendiri jika mahu membeli peralatan.
"Dengan pemberian ini, dapatlah kami gunakan sebaik mungkin. Tidak perlu lagi guna PA sistem yang boleh ditarik ke mana-mana," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SRA Pekan Kapar, Siti Hasnah Muhamad berkata, pihaknya gembira kerana PKNS sudi memberi sumbangan kepada sekolahnya.
"Selama 30 tahun saya mengajar, belum ada lagi badan korporat yang sudi memberi sebarang sumbangan. Dengan pembesar suara yang PKNS sumbangkan ini, kita akan gunakan sebaik mungkin dan sebarang majlis di sekolah nanti pasti lebih bermakna kerana sistem suara yang ada nanti lebih jelas.
"Saya harap selepas ini makin ramailah badan korporat yang memberi sumbangan kepada kami. Sebelum ini, kita ada terfikir untuk membeli sendiri alat pembesar suara ini, tetapi bila sudah ada yang menyumbang, kami sangat bersyukur," katanya.
Ketua Guru Kafa, Telok Menegon, Muhammad Nazirul Zawir Zainal Abdidin berkata, pihaknya berasa bertuah kerana PKNS sudi menyumbangkan peralatan pembesar suara kepada sekolahnya yang agak kecil.
"Murid di sekolah saya hanya ada dalam 180 orang saja. Jujurnya, kami sendiri tidak mampu membeli alat itu kerana harganya agak mahal.
"Sebelum ini, kami terpaksa menyewa alat itu jika ada sebarang majlis dengan anggaran kos RM200 hingga RM300. Hinggakan kadangkala terpaksa meminjam peralatan itu daripada pihak lain.
"Dengan pemberian PKNS ini, kita dapatlah kurang kos yang kami keluarkan selama ini, sudah tentu gembira dengan pemberian PKNS kerana selepas ini, kami sudah ada PA sistem sendiri," katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire