Baharuddin antara anggota trafik yang menerima sijil penghargaan.
BANTING - "Memang kerjaya polis sangat mencabar. Namun, kalau dah minat dan menjadikan ia satu kerjaya yang murni sudah tentu setiap tanggungjawab yang digalas dapat dipikul dengan baik," demikian luah seorang penerima sijil penghargaan polis, Baharuddin Mohd, 59, sempena Hari Peringatan Polis ke 208 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam.
Menurutnya, beliau yang sudah menjadi anggota trafik lebih 10 tahun itu berpendapat perbezaan keadaan lalu lintas sejak dahulu dan hari ini sangat berbeza.
"Tak dinafikan kebanyakan pengguna sudah mempunyai kenderaan dan pertambahan kenderaan di atas jalan raya menjadi tumpuan kami dalam usaha mengajak mereka mematuhi keselamatan jalan raya.
"Siapa kata, anggota trafik tidak memainkan peranan penting dalam menjaga kesesakan lalu lintas? Kamilah sebenarnya insan yang terpaksa bertarung nyawa berada di jalan raya semata mata mahukan perjalanan kenderaan berjalan lancar," katanya.
Baharuddin berbangga kerana telah mendapat pengiktirafan menerima sekali lagi sijil penghargaan sempena Hari Polis.
Katanya, dia sendiri tidak ingat berapa kali surat penghargaan telah diterima namun ianya bukanlah satu ukuran tetapi sebagai dorongan untuk terus meningkatkan perkhidmatan dalam kerjaya polis.
Seorang orang awam, Zawalajam Mashod berkata, beliau gembira apabila dianugerahkan sijil penghargaan daripada ketua polis daerah sebagai satu usaha membantu meningkatkan keselamatan.
Katanya, sijil bukanlah satu ukuran namun mengharapkan kerjasama masyarakat dalam membantu pihak polis mengatasi masalah sosial yang berlaku.
"Paling tidak pun sebagai pengguna dapat mematuhi undang undang termasuklah keselamatan jalan raya dan komuniti setempat," katanya.
Mengulas mengenai penyertaan masyarakat dalam membantu mencegah jenayah, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azman Abdul Razak berkata, beliau yakin masyarakat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam membantu meningkatkan keselamatan.
Katanya, beliau gembira kerana kerjasama antara komuniti dan pihak polis sentiasa terjalin bagi membantu mendapatkan maklumat.
"Saya harap kakitangan saya dapat meneruskan perkhidmatan dengan cekap dan amanah setiap masa," katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire