Abd. Rahman Zakaria (tengah) dijatuhi hukuman dua minggu penjara dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah dalam kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 1 Julai – Seorang pemandu bot tambang terpaksa menyambut Aidilfitri dalam penjara akibat memberi rasuah RM100 kepada seorang anggota polis semata-mata untuk melindungi seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, Jumaat lalu.
Abd. Rahman Zakaria, 43, menerima ketentuan tersebut setelah Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000 terhadapnya yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Hakim Adli Abd. Ghani memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada Sabtu lalu dan jika gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara sebulan.
Abd. Rahman yang tidak diwakili peguam bela, gagal membayar denda berkenaan.
Lelaki itu mengaku memberi suapan wang RM100 kepada Koperal Mohd. Yatim Ariffin yang bertugas di Pejabat Risik Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai dorongan tidak menangkap Farid Khan Abdul Kadir yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 7 pagi, 27 Jun lalu di Pengkalan Azizah, Rantau Panjang, Pasir Mas dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Abd. Rahman dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia merupakan orang susah yang perlu menyara anak-anak yang masih bersekolah dan menjaga ibunya.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahidah Muslimah Roslan yang mengendalikan pendakwaan kes itu pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat tentang kesalahan rasuah.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire