KUALA LUMPUR 1 Julai – Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis dengan sebatang kayu dalam satu rusuhan, tiga bulan lalu.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Yuzamri Yunus, Randi Mahmud dan Orip Bila yang melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.10 petang, 22 April lalu di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Ketiga-tiganya yang diwakili peguam, Mohd. Shamril Afzan Mohamed Hasim, didakwa memiliki sebatang kayu dalam satu rusuhan yang telah menyebabkan kecederaan ke atas Koperal Norhalwanhakin Shah Mohd. Shariff.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Randi dan Orip berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada hari kejadian manakala tempoh hukuman ke atas Yuzamri diperintahkan bermula dari tarikh tangkapan 23 April lalu.
Yang turut didakwa atas pertuduhan sama ialah empat lelaki warga tempatan, Sabri Baharudin, 47, Muhammad Sharul Masjir, 18, Usman Ahmad Sahrozi, 47, Jakrin Pranatta Jailani, 18, dan tiga lagi warga Indonesia, Suherman, Firman dan Pitriadi.
Kesemua tujuh tertuduh terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan sebutan semula kes bagi mereka ditetapkan pada 19 Ogos ini.
Menurut fakta kes, mangsa yang sedang menjalankan tugas dalam satu operasi telah menahan seorang penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat dalam keadaan yang mencurigakan. Kedua-dua lelaki terbabit bagaimanapun enggan memberikan kerjasama dan terus melarikan diri ke arah Kampung Sungai Penchala.
Setibanya di pekan Kampung Sungai Penchala, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut telah terjatuh dan mangsa sekali lagi memperkenalkan diri sebelum dia telah ditarik dari arah belakang sehingga terjatuh ke atas jalan raya.
Norhalwanhakin kemudian telah dibelasah oleh beberapa orang menggunakan kayu sehingga cedera di bahagian muka dan kepala.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire