ENAM lelaki dikawal oleh anggota polis atas tuduhan secara bersama-sama merancang kegiatan keganasan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/ SAFRIZAL AZMI
ALOR SETAR 30 April - Enam lelaki termasuk dua beranak dan seorang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan terlibat dengan kegiatan keganasan di negara ini.
Murad Halimmuddin Hassan, 49, dan anaknya, Abu Daud, 25, serta empat lagi, Nor Azmi Jalani, 28, Mohd. Yusri Mohamed Yusof, 29, Hadharami Hashim, 38, dan warga asing terbabit, Ali Saifuddin, 28, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Rusita Md. Lazim.
Murad Halimmudin merupakan pengusaha kedai perkakasan manakala anaknya seorang peniaga, Hadharami pembantu tahfiz, Ali juruwayar sementara Mohd. Yusri dan Nor Azmi masing-masing anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa berpakat mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, dekat sini antara 30 Januari dan 5 April lalu.
Tindakan mereka itu bertentangan dengan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan satu kesalahan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Di mahkamah sama, Murad Halimmuddin turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas di tempat yang sama pada 29 Mac lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(b) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Murad Halimmuddin hanya tersenyum dan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan itu dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwaan negeri, Salim Soib sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Sharif Mat dan Mohd. Zainuri Zahir.
Salim berkata, tidak ada sebarang jaminan ditawarkan kerana kesalahan yang didakwa dilakukan tertuduh tergolong dalam kesalahan keganasan dan beliau memohon tarikh sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu arahan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Rusita kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kedua-dua kes itu pada 31 Mei ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan seramai 17 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) yang ditahan polis sedang merancang untuk menculik orang kenamaan serta melakukan serangan ke atas beberapa lokasi strategik di Lembah Klang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek berusia antara 14 dan 49 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (CTD) Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar ibu negara dan Kedah ketika mengadakan pertemuan sulit.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire