mercredi 29 avril 2015

Isteri seorang yang sangat berpengaruh itu bukan Rosmah, kata LCW


Ayat "isteri seorang yang sangat berpengaruh" dalam laporan panel BWF bagi prosiding kes doping Chong Wei menyebabkan pada awalnya timbul spekulasi Rosmah adalah wanita yang dimaksudkan. - Foto arkib TRP/Siti Syahirah

KUALA LUMPUR, 29 April: Bagi meredakan spekulasi yang makin rancak, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hari ini menafikan wanita yang memberikan ubatan herba yang dipercayai menjadi punca beliau digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) adalah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Ya, saya boleh sahkan bukan beliau (Rosmah),” katanya dipetik oleh portal berita Malaysiakini.

Chong Wei turut berkata beliau mahu melupakan perkara itu dan berusaha untuk kembali membanggakan negara melalui pencapaiannya.

Panel tiga ahli BWF pada prosiding kes doping Chong Wei dalam laporan mereka antara lain menyatakan bahawa sekitar tahun 2005, atlit negara itu mula berkawan dengan “isteri kepada seorang yang sangat berpengaruh” di negara ini.

Pada tahun 2007 atau 2008, wanita berkenaan mula memberi bekalan ubatan herba yang bahan mentahnya beliau perolehi sendiri dari luar negara sebelum diproses menjadi pil dan kapsul di sebuah kedai ubatan Cina miliknya di ibu negara.

Berdasarkan laporan BWF, herba dinamakan cordyseps itu lah yang dicemari bahan terlarang dexamethasone yang menyebabkan Chong Wei digantung.

Laporan yang menyebut “isteri seorang yang sangat berpengaruh” itu menyebabkan timbul spekulasi Rosmah adalah wanita yang dimaksudkan memandangkan beliau diketahui peminat dan penyokong kuat Chong Wei, selain merupakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malaysiakini turut memetik sumber yang tidak dinamakan yang mendakwa wanita itu adalah isteri kepada seorang bekas ahli politik terkenal Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun dia tidak tahu herba yang beliau beri telah dicemari bahan yang boleh mengundang masalah kepada Lee.

Sementara itu laporan portal The Star Online pula lebih spesifik apabila menyatakan wanita terbabit dipercayai isteri seorang pemimpin MCA yang sudah bersara.

“Orang yang memberikan saya ubatan herba tradisional Cina itu adalah kawan baik saya dan niat beliau baik. Saya tidak boleh mendedahkan namanya.

“Saya (bagaimanapun) boleh sahkan beliau bukan Datin Seri Rosmah,” kata Chong Wei kepada The Star Online.

Chong Wei digantung lapan bulan oleh BWF setelah ujian ke atas sampel doping beliau yang diambil ketika Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas didapati positif mengandungi dexamethasone.

Hukuman penggantungan yang berkuatkuasa mulai 30 Ogos tahun lepas itu akan berakhir 30 April ini.


Read more: http://ift.tt/1Jacvy3


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire