jeudi 30 avril 2015

Belum ada cadangan naik tambang feri


Chua Soi Lek

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) tidak bercadang untuk menaikkan tambang feri buat masa ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk masa yang belum sesuai berikutan negara baru memulakan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Pihak kami mengambil perhatian terhadap isu itu kerana kami prihatin terhadap pengendali pelabuhan yang mengalami kerugian, tetapi kami juga simpati kepada pengguna," katanya kepada pemberita semasa melawat Pangkalan Feri Raja Tun Uda di Pengkalan Weld di sini, hari ini.

Kali terakhir tambang feri dinaikkan ialah pada tahun 2005 selepas dinaikkan dua kali sebelumnya sejak perkhidmatan feri diperkenalkan di Pulau Pinang pada tahun 1894, katanya.

Dalam pada itu Dr Soi Lek berkata, jumlah pengguna perkhidmatan feri dari tahun 1984 sehingga tahun lalu mencatat penurunan yang hanya 20,000 penunggang motosikal menggunakannya berbanding 400,000 orang sebelum ini.

"Selain itu jumlah motosikal yang menggunakan feri juga menurun kepada 1.2 juta berbanding 3.4 juta sebelum ini, kereta dari 2.5 juta berkurangan kepada 760,000 manakala lori daripada 460,000 turun kepada 43,000," katanya.

Beliau berkata, faktor yang menyumbang kepada penurunan penggunaan feri adalah berikutan pembukaan dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang dan disusuli Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire