Kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mengalami kerosakan teruk.
SEREMBAN - Kegagalan sistem brek dialami sebuah kren mengakibatkan 13 kenderaan lain terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Ujong, di sini, berhampiran simpang ke Plaza Tol Seremban-Labu, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang itu membabitkan kren Nissan Tadano, Perodua Kancil, Perodua Viva, Perodua Myvi, Perodua Alza, Proton Saga, Proton Saga FLX, Honda City, Toyota Vios, Toyota Dyna, Toyota SEG, Hyundai Elantra dan Mazda 2.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan dan semua kenderaan dialihkan dalam tempoh satu jam selepas kemalangan.
"Berdasarkan siasatan awal, insiden ini berpunca daripada kren yang hilang kawalan ketika menghala ke arah bandar Seremban. Semasa kemalangan, cuaca hujan renyai dan jalan basah di laluan empat lorong berkenaan.
"Kerosakan pada brek menyebabkan jentera berat itu merempuh Toyota SEG di hadapan sehingga terseret dan menyebabkannya melanggar beberapa kenderaan di lorong kedua dari kiri," katanya.
Menurut beliau, kemalangan jenis knock to knock itu semakin melarat apabila kenderaan lain di lorong ketiga sebelah kiri turut dilanggar dari arah belakang.
"Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hasil ujian terhadap sampel urin pemandu kren berusia 42 tahun itu didapati negatif.
"Sampel darahnya juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi menguji kehadiran alkohol dan dadah dalam badan," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Selamat Sairi berkata, seramai empat anggota menaiki satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kemalangan sekitar jam 6.54 petang.
"Kita turut dibantu BBDP Seremban yang hadir bersama tujuh anggota menaiki satu jentera dan ambulans Unit Penyelamatan dan Rawatan Kecemasan (EMRS).
"Pemantauan dilakukan lebih kurang 20 minit. Tujuannya bagi mengesan sebarang risiko kebakaran dan memastikan tiada mangsa tersepit dalam kenderaan," katanya yang menjelaskan semua mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan orang ramai sebelum ketibaan bomba.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire