Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memberi perkenan terhadap cadangan penubuhan sebuah yayasan kebajikan khas buat masyarakat Tionghoa yang kurang bernasib baik di negeri ini.
Baginda turut berkenan memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada yayasan itu sebagai modal permulaan.
Yayasan itu dicadang dinamakan Yayasan Sultanah Fatimah.
Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan pada majlis santapan diraja bersama masyarakat Tionghoa bersempena sambutan istiadat kemahkotaan baginda sebagai Sultan Johor pada 23 Mac lepas, di Pusat Konvensyen Persada, di sini malam tadi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dalam ucapannya pada majlis itu memaklumkan tentang cadangan untuk menubuhkan yayasan itu dalam usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan.
Dalam titah baginda, Sultan Johor turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus mengekalkan hubungan baik sesama kaum bagi mengekalkan keharmonian.
"Dalam zaman pemerintahan saya, saya mahu hubungan antara kaum di negeri Johor ini menjadi lebih baik.
"Janganlah berpecah-belah kerana fahaman atau parti politik yang berbeza," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah supaya rakyat Johor bersatu-padu, setia kepada pemerintah, patuh kepada undang-undang, beradab sopan dan sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire