mardi 28 avril 2015

Jepun mampu jadi rakan pelaburan penting Melaka


Idris Haron

MELAKA - Melaka melihat Jepun berpotensi sebagai rakan pelaburan utamanya bagi memajukan lagi sektor ekonomi negeri itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Ini selaras pendirian Melaka yang menjadikan perindustrian antara sektor utama ekonominya yang mampu menarik lebih ramai pelabur Jepun yang sememangnya diketahui antara negara perindustrian terbaik di dunia.

"Kita telah menghantar ramai pelajar ke Jepun untuk mempelajari bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Ini satu kelebihan untuk (menarik) syarikat Jepun melabur dengan membuka kilang di sini selain tenaga kerja kita yang menepati yang menepati standard ditetapkan negara berkenaan.

"Melaka turut menawarkan banyak kemudahan seperti tapak kilang yang bersesuaian serta sistem pengangkutan yang baik selain pelbagai insentif disediakan Malaysia sendiri. Oleh itu, saya percaya Melaka dapat menarik lebih ramai pelabur dari Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kilang Konica Minolta di Ayer Keroh di sini yang membabitkan pelaburan berperingkat berjumlah RM860 juta selama lima tahun bermula tahun lepas.

Bagi tempoh antara 1980 hingga tahun lepas, Melaka terbukti berjaya menarik pelaburan bernilai RM3 bilion daripada syarikat Jepun.

Melaka turut menyasarkan pelaburan sebanyak RM5 bilion tahun ini. Malah ia berjaya menarik sejumlah RM4.4 bilion tahun lepas yang mana RM1.8 bilion adalah pelaburan luar negara.

Mengulas pembukaan kilang Konica Minolta itu, Idris menganggapnya dapat membuka peluang pekerjaan untuk lebih 700 orang.

"Ia mempunyai seramai 374 pekerja yang mana 313 orang adalah pekerja tempatan," katanya.

Kilang itu antara lainnya menghasilkan peralatan percetakan pelbagai fungsi serta kelengkapan lain seperti peralatan optikal dan kotak dakwat kering. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire