Najib TUN RAZAK bersama Nor Azitah Abdul Rahman (dua dari kiri) dan Baharom Embi (tiga dari kiri) bergambar sewaktu melakukan tinjauan mesra di Bengkel 2H Auto Workshop kelolaan Zaharul-Lail Alang Teh, yang menerima manfaat melalui Program TEKUN. Bengkel berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Zaharul, usahawan OKU paling berjaya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 30 April – Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat 2H Auto Workshop yang diusahakan oleh orang kurang upaya (OKU), Zaharul-Lail Alang Teh di Kampung Baru di sini hari ini.
Dalam lawatan mengejut itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan pekerja-pekerja bengkel membaiki kenderaan tersebut yang terdiri daripada golongan OKU.
“Sebentar tadi saya melawat bengkel 2H Auto Workshop yang dikelolakan oleh Zaharul, antara pengusaha OKU paling berjaya di Kampung Baru.
“Bengkel ini telah menerima manfaat daripada program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang bermatlamat untuk membantu golongan bumiputera memulakan atau memajukan perniagaan mereka,” katanya melalui laman Facebook beliau hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi TEKUN, Nor Azitah Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Baharom Embi.
Antara penerima dana TEKUN yang menyertai lawatan tersebut ialah pengusaha makanan sejuk beku, Fatihah Anis Ibrahim; pemilik kilang perabot, Rugayah Malik; pengusaha cenderahati, Rozalfikar Abdul Rahman dan pengusaha pakaian, Kornia Naiee.
Selepas lawatan berkenaan, Perdana Menteri seterusnya menikmati juadah makan tengah hari bersama beberapa pengusaha TEKUN di Restoran Matahari, Kampung Baru.
TEKUN telah mengagihkan pinjaman berjumlah RM3.34 bilion kepada 399,769 penerima di seluruh negara sejak penubuhannya pada 1998 hingga 31 Mac lalu.
Dalam pembentangan Bajet 2015 tahun lalu, Najib mengumumkan, TEKUN menyediakan dana sebanyak RM500 juta untuk disalurkan kepada usahawan yang layak.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire