mardi 28 avril 2015

Sakitnya belum dikenal pasti


Sazali (tengah) melawat Mohd Ramadhani di Kampung Krubong.

KRUBONG - Seorang kanak-kanak menghidapi masalah perut menggeleber memerlukan rawatan pakar bagi mengesan penyakit yang dideritainya sejak dilahirkan.

Difahamkan, penyakit Mohd Ramadhani Abdullah, 8, masih tidak dikenal pasti.

Perut pelajar Sekolah Kebangsaan Krubong ini akan mengeras apabila demam selain tiada selera makan sehingga menyebabkan berat badannya kini hanya sekitar 14 kilogram.

Sebelum ini, Mohd Ramadhani dijaga ibunya, Julina Ismail, 38. Tetapi keadaan ibunya yang kurang sihat menyebabkan kehidupan Mohd Ramadhani tidak terurus selain tidak bersekolah biarpun sudah berumur tujuh tahun.

Penderitaan dan kesempitan hidup kanak-kanak ini mendapat perhatian jirannya, Hashim Latiff, 51, yang bertindak mengambil Mohd Ramadhani sebagai anak angkat sejak Disember lalu.

"Saya simpati melihat dia. Tidak terurus, tidak bersekolah dan paling kesian melihat keadaan dirinya yang sakit.

"Saya sudah bawa Mohd Ramadhani mendapatkan pemeriksaan di Hospital Alor Gajah awal tahun lalu. Tetapi doktor beritahu keadaannya baik.

"Namun, saya amat risau apabila melihat keadaan perutnya yang tidak diketahui apa jenis penyakit dan rawatan diperlukan," katanya semasa ditemui di kediamannya di Kampung Krubong.

Katanya, Mohd Ramadhani akan mengerang kesakitan setiap kali perutnya mengeras dan akibat penyakitnya itu, dia tidak boleh aktif bermain seperti kanak-kanak lain.

Hashim mempunyai tujuh anak dan hanya bekerja kampung ,mengakui tidak mampu menghantar kanak-kanak ini ke hospital swasta sebaliknya mengharapkan terdapat doktor pakar tampil membantu memberi rawatan.

Hashim bersama isteri, Norazam Ariffih, 49, juga turut bertindak menjaga Julina yang dikatakan tinggal sebatang kara di kampung terbabit.

Norazam menyifatkan Mohd Ramadhani amat pintar dan terang hati kerana biarpun baru bersekolah Januari lalu, namun dia sudah bijak menghafal pelbagai jenis doa.

Sementara itu, Adun Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din yang berkunjung ke kediaman itu memberitahu, kehidupan keluarga kanak-kanak ini sebenarnya sudah diberikan perhatian sejak menetap di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, beliau amat berharap mana-mana hospital pakar di Melaka khususnya, tampil membantu melakukan khidmat sosial korporat memberikan rawatan secara percuma kepada Mohd Ramadhani.

"Saya memohon jasa baik hospital pakar untuk mengenal pasti penyakit kanak-kanak ini dan memberikan rawatan khusus sehingga sembuh.

"Saya juga melahirkan rasa penghargaan kepada Hashim yang sedia menjaga kanak-kanak ini demi masa depannya yang disifatkan sebagai satu contoh tauladan kepada masyarakat," katanya.

Sazali turut memohon pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka mempercepatkan kelulusan bantuan bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga berkenaan.

Sebelum ini, Julina adalah penerima JKM tetapi sudah terputus bantuan selepas dia berpindah ke Johor selain menerima bantuan rumah di bawah projek perumahan rakyat termiskin susulan rumah didudukinya sebelum ini terbakar, tahun lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh melakukan demikian pada akaun milik Hashim, Bank BSN 04401-41-00003244-3.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire