KUALA TERENGGANU - Sejumlah 2,978 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pemangku Ketua Polis Terengganu, Datuk Hashim Abdul Jalil berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 781 tangkapan berbanding 3,759 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagi tempoh Januari hingga Mac lepa, kita berjaya menurunkan sebanyak 27 peratus kesalahan memiliki dadah, 22 peratus melibatkan tangkapan positif dadah dan 24 peratus membabitkan tangkapan di bawah Akta Pencegahan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi kes jenayah melibatkan harta benda, statistik menunjukkan penurunan sebanyak 16 kes kepada 649 kes.
Sementara bagi jenayah kekerasan, sebanyak 94 kes direkodkan berbanding 101 kes iaitu penurunan sebanyak 6.9 peratus, katanya.
Hashim berkata, secara keseluruhannya polis Terengganu telah berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak tiga peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini.
Katanya, ia hasil pelaksanaan aktiviti dan program pencegahan jenayah yang dijalankan secara holistik dan agresif dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak.
"Penurunan indeks jenayah ini telah memberi impak yang positif dan keberkesanan usaha membendung jenayah yang dilaksanakan di negeri ini.
"Kita harap orang ramai bersama polis memainkan peranan lebih luas dalam memastikan kadar jenayah dapat terus dikurangkan," katanya. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire