KATHMANDU Beratus-ratus penduduk Nepal menggunakan tangan mereka untuk menggali di celah runtuhan bagi mencari mayat anggota keluarga masing-masing semalam.
Mereka bertindak sendiri kerana marah dan kecewa kerajaan lambat menghulurkan bantuan selepas gempa bumi kuat melanda Nepal tiga hari lalu dan menyebabkan lebih 4,000 kematian.
Bantuan antarabangsa akhirnya tiba di Nepal yang memiliki 28 juta penduduk tetapi pengagihannya lembab.
Siri gegaran susulan, kemusahan teruk, kerosakan infrastruktur serta kekurangan dana merupakan antara faktor yang melambatkan usaha menyelamat di negara itu yang terletak di antara India dan China.
Menunggu bantuan tiba adalah lebih menyeksakan berbanding anda sendiri melakukan usaha menyelamat, kata seorang penduduk, Pradip Subba.
Dia menggali di celah-celah runtuhan menara bersejarah Dharahara di Kathmandu untuk mencari mayat abang dan kakak iparnya.
Tangan kami ialah jentera kami, kata lelaki berusia 27 tahun itu.
Tiada kakitangan kerajaan atau anggota tentera datang untuk membantu kami, tambahnya.
Berpuluh-puluh orang maut selepas menara itu runtuh dalam gempa bumi pada Sabtu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua agensi bantuan bencana alam India (NDRF), O.P. Singh berkata, usaha membersihkan runtuhan adalah sukar kerana jentera berat tidak dapat memasuki jalan-jalan sempit di Kathmandu.
NDRF merupakan antara beberapa agensi bantuan asing yang pertama tiba di Nepal.
Anda perlu mengeluarkan semua serpihan runtuhan dan ini mengambil masa sehingga berminggu-minggu, katanya kepada saluran televisyen India, NDTV lewat kelmarin.
Dalam pada itu, India dan China menjadi antara negara pertama yang menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi membantu Nepal.
Kelmarin, Amerika Syarikat (AS) turut mengumumkan bantuan tambahan sebanyak AS$9 juta (RM31.9 juta), menjadikan bantuan AS kini meningkat kepada AS$10 juta (RM35.5 juta).
Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter pula berkata, dua pesawat pengangkut C-17 milik Tentera Udara AS yang membawa sebilangan petugas penyelamat dan barangan keperluan telah berlepas ke Nepal. Reuters
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire