Kenderaan polis mengiringi ambulans membawa mayat penyeludup dadah yang ditembak mati di penjara Nusakambangan, awal pagi semalam.
JAKARTA - INDONESIA. Peguam Negara Indonesia mempertahankan pelaksanaan hukuman mati terhadap tujuh pesalah dadah dengan menegaskan negara itu kini berdepan 'peperangan' melawan dadah.
Tujuh penyeludup dadah terbabit termasuk dua warga Australia ditembak mati skuad penembak Indonesia di penjara Nusakambangan, awal pagi semalam.
"Saya ingin menegaskan bahawa hukuman mati ini bukan satu perkara yang menyenangkan. Namun, kami perlu bertindak untuk menyelamatkan negara daripada bahaya dadah. Dadah boleh mengancam masa depan negara," kata Peguam Negara M Prasetyo.
Selain dua warga Australia iaitu Myuran Sukumaran dan Andrew Chan, empat dari Afrika, seorang warga Brazil serta seorang rakyat Indonesia turut ditembak serentak di Nusakambangan.
Seorang lagi pesalah warga Filipina, Mary Jane Veloso, 30, diberi penangguhan 11 jam atas arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo setelah kerajaan Filipina memberikan maklumat bahawa sepasang kekasih yang mengaku menjerat dan menganiayai Mary Jane telah menyerah diri kepada polis di Filipina, kelmarin.
Menurut media tempatan, polis Filipina mengesahkan sepasang kekasih dikenali sebagai Maria Kristina Sergio dan Julius Lacanilao telah mengaku mereka memperdaya Mary Jane dan dijadikan keldai dadah tanpa pengetahuannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Australia memanggil balik dutanya ke Jakarta kerana kesal dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua warganya meskipun berulang kali membuat rayuan kepada Presiden Joko Widodo - AFP
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire