mercredi 29 avril 2015

Hukum peniaga menipu


ROMPIN 29 April - Kabinet mengarahkan Jabatan Peguam Negara mempercepatkan proses pendakwaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menipu pengguna berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini berikutan tindakan sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan dalam pelaksanaan sistem percukaian baharu tersebut sehingga membangkitkan kemarahan rakyat.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang berhubung kesalahan tersebut perlu dikuatkuasakan secara menyeluruh bagi menangani perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Mereka yang salah kena ambil tindakan. Jabatan Peguam Negara tengok kes yang terang-terangan salah, hukum cepat-cepat.

“Kalau peniaga ikut cara betul, jangan takut. Jangan bebankan rakyat dan akhirnya rakyat salahkan kerajaan,’’ katanya ketika berucap dalam majlis pemimpin bersama rakyat di Dataran Rompin di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin dan kepemimpinan parti komponen BN negeri serta Pusat.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan GST yang bermula 1 April lalu sepatutnya membantu rakyat menikmati harga barang yang lebih murah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau beliau, pelaksanaannya juga adalah untuk kekuatan ekonomi negara bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan infrastruktur lebih banyak yang akhirnya faedahnya dinikmati rakyat.

Timbalan Perdana Menteri tidak menafikan pengenalan awal sistem percukaian yang dilaksanakan di lebih 160 negara itu menimbulkan perasaan tidak puas hati segelintir rakyat, namun yakin apabila keadaan stabil, rakyat akan dapat memahami dan melihat kebaikannya.

“Biarlah di peringkat ini orang tidak puas hati. Masalah kita, kerajaan BN baik hati sangat, 160 negara sudah melaksanakan GST, kita yang terakhir,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, kerajaan tahu, peka dan tidak akan berdiam diri tentang masalah dihadapi rakyat dengan berusaha menyelesaikannya.

Beliau berkata, kebajikan rakyat termasuk usaha menangani peningkatan kos sara hidup menjadi perkara pokok dalam pentadbiran kerajaan BN.

Katanya, BN sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat di negara ini dalam pelbagai aspek dan perkara itu juga keutamaan yang dibincangkan antara pemimpin parti setiap hari.

“BN peka dengan masalah dan kita tidak akan berdiam diri untuk membiarkan rakyat negara ini susah seperti penduduk di beberapa negara lain,’’ katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire