jeudi 30 avril 2015

Galak wanitabekerja dari rumah


ROHANI ABDUL KARIM (tiga dari kanan) mengambil gambar selfie bersama pelajar-pelajar yang terlibat dalam Kempen Keseimbangan Hidup Bekerja Work Hard, Play Hard di Auditorium Pusat Khidmat Maklumat Akademik, UNIMAS, di Kota Samarahan, Sarawak, semalam. UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KOTA SAMARAHAN 30 April - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang memperkenalkan Program Aturan Kerja Fleksibel atau Keseimbangan Hidup Bekerja kepada golongan wanita bekerjaya di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ini bagi membolehkan mereka mempunyai masa berkualiti bersama keluarga tanpa menjejaskan produktiviti.

Kata beliau, sebagai permulaan, program itu sudah diperkenalkan kepada kira-kira 100 pegawai wanita dipilih di kementerian berkenaan sejak Mac lalu.

Menurutnya, di bawah program itu, pegawai terpilih iaitu yang mempunyai markah penilaian 85 peratus ke atas diberi tiga pilihan waktu bekerja.

“Program Aturan Kerja Fleksibel atau Keseimbangan Hidup Bekerja ini bermula di kementerian ini sendiri mulai 1 Mac lalu.

“Di bawah program ini, kira-kira 100 pegawai kumpulan pertama dipilih diberi tiga pilihan waktu bekerja yang dikira bersesuaian dan selesa bagi mereka iaitu pertama, bekerja dari rumah, masa fleksibel (pilihan kedua) dan minggu kerja yang mampat (pilihan ketiga),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keseimbangan Hidup Bekerja anjuran pelajar tahun tiga Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Pusat Khidmat Maklumat Akademik Unimas di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pembangunan Manusia) Unimas, Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim serta Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia Unimas, Abang Ekhsan Abang Othman.

Rohani berkata, selain pilihan pertama iaitu bekerja dari rumah, pegawai yang memilih masa fleksibel dibenarkan masuk bekerja lewat bagi membolehkan mereka menguruskan kerja rumah, anak dan suami pada sebelah pagi sebelum pergi ke pejabat.

“Mereka bagaimanapun dikehendaki pulang lewat bagi memastikan bekerja dalam tempoh masa sama seperti kakitangan lain. "Pilihan ketiga iaitu minggu kerja yang mampat pula membenarkan pegawai terlibat bekerja selama empat hari seminggu dalam tempoh masa panjang tetapi mempunyai satu hari tambahan untuk dihabiskan bersama keluarga,” katanya.

Menurut Rohani, kumpulan pertama dipilih menyertai program terbabit diberi tempoh tiga bulan untuk memilih masa bekerja yang paling sesuai dan sekiranya menunjukkan kesan positif, program sama dicadangkan diperkenalkan kepada lain-lain jabatan di negara ini.

Beliau berkata, pilihan bekerja yang diperkenalkan melalui program tersebut sudah banyak dipraktikkan oleh wanita bekerja di negara maju seperti Sweden dan United Kingdom memandangkan kecanggihan gajet masa kini yang memudahkan kerja pejabat dibuat di mana-mana sahaja.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, Program ‘Second Peak’ yang diuruskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi menarik minat wanita profesional yang berhenti kerja kerana mahu menguruskan keluarga, kembali bekerja mendapat sambutan menggalakkan sejak diperkenalkan Mac lalu.

“Melalui program ini, kita berjaya membawa ramai wanita Malaysia yang profesional seperti doktor dan jurutera yang bekerja di luar negara dan berhenti sebelum ini, pulang ke tanah air untuk bekerja semula,” katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire