jeudi 30 avril 2015

Kemeriahan tiga karnival serentak




MUAR 30 April - Suasana di bandar ini yang dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja baru-baru ini sibuk, sesak, riuh-rendah dan meriah dari pagi hingga malam dengan berlangsungnya tiga karnival serentak.

Tiga program itu adalah Karnival Road To Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), Karnival Johor Corporation 2015 dan Karnival Jambatan Sultan Ismail yang dianjurkan sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor.

Ekoran karnival berkenaan, beberapa jalan utama ditutup termasuk Jambatan Sultan Ismail yang merupakan ikon di bandar ini yang didirikan gerai jualan yang menjual produk industri kecil dan sederhana (IKS) selain hasil tani dan perikanan serta zoo mini untuk pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed semasa merasmikan HPPNK berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan ilmu yang bermakna terutama dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani kepada orang ramai.

“HPPNK juga membuka peluang niaga kepada orang ramai supaya melihat sendiri kejayaan dan transformasi dalam sektor pertanian. Ini adalah usaha kerajaan dalam mentransformasikan bidang pertanian menjadi sektor yang lebih dinamik, kompetitif dan produktif,” katanya.

Lebih menarik HPPNK bukan sahaja dikunjungi orang ramai, malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut meluangkan masa melawat gerai-gerai tersebut.

Kunjungan mengejut Sultan Johor itu menarik perhatian peniaga dan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar dengan baginda serta sempat melakukan demonstrasi menoreh getah.

Selain HPPNK, Karnival Johor Corporation di Dataran Tanjung Emas turut menjadi tumpuan pengunjung yang menempatkan lebih 30 gerai, terutamanya milik Johor Corporation (JCorp) yang banyak menyumbang kepada ekonomoi dan pembangunan negeri ini.

Selain berpeluang melihat pencapaian dan kejayaan JCorp dan anak syarikatnya, orang ramai khususnya golongan muda tidak melepaskan peluang mengisi borang untuk mengisi kekosongan 1,000 jawatan yang ditawarkan serta mendaftar untuk mengikuti kursus yang ditawarkan di Universiti Kolej KPJ dan Kolej Antarabangsa KFCH.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, karnival itu merupakan inisiatif pihaknya untuk merapatkan hubungan, memberi pelbagai maklumat tentang akti-viti perniagaan, penyertaan dalam pembangunan negeri dan tanggungjawab korporatnya sejak ditubuhkan 45 tahun lalu.

“Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyertai pelbagai acara yang disediakan, malah yang paling utama membuka peluang dan ruang kepada masyarakat mengenali JCorp dengan lebih dekat,” katanya.

Karnival itu dirasmikan serentak dengan pelancaran akhbar jawi, Utusan Melayu Mingguan oleh Sultan Ibrahim. Yang turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; puterinya, Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

JCorp turut menganjurkan Program Jalinan Ukhuwah An-nur Semarak Jawi dengan aktiviti seperti Coretan Jawi, Jelajah Jawi, iaitu pencarian harta karun untuk menguji kemahiran peserta dalam memahami tulisan jawi serta Pertandingan Tulisan Jawi dan Khat untuk menyubur serta membudayakan tulisan jawi dalam kalangan generasi muda, seiring inisiatif JCorp menaja penerbitan semula Utusan Melayu Mingguan dalam bentuk cetak sebanyak 10,000 naskhah setiap minggu.

Sementara itu, lebih 15,000 pengunjung membanjiri Karnival Jambatan Sultan Ismail selama 12 jam dengan empat acara menarik bermula serentak iaitu pertunjukan bunga api, Perarakan Bot Berhias, Perarakan Karnival Jambatan Sultan Ismail dan Konsert Mini yang dijayakan beberapa artis termasuk Syura, J. Sham dan Nizam Laksamana.

Dianggarkan lebih 40,000 orang memeriahkan tiga karnival itu yang bukan sahaja dikunjungi warga Muar, malah dari Ledang dan Melaka.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire