lundi 27 avril 2015

Sup kepala ikan siakap RM150



Abdul Ghani Harun (tiga kiri) bersama beberapa orang pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, memeriksa dokumen dan resit dalam serbuan di salah sebuah restoran makanan laut di Jalan Pantai Cahaya Bulan, semalam. UTUSAN/Wahidin Salim

KOTA BHARU 27 April – Sebuah restoran di Jalan Pantai Cahaya Bulan, dekat sini diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri kerana menjual sup kepala ikan siakap pada harga terlalu mahal hingga mencecah RM150.
Serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang selepas PPDNKK negeri menerima aduan orang ramai berhubung harga masakan tersebut.
Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya menerima dua aduan daripada pelanggan pada 19 April lalu yang mengatakan harga sup kepala ikan siakap dijual mencecah harga RM150.

“Kita datang pada 22 April (Rabu) untuk mencuba makanan yang dijual di situ. Seketul kepala ikan didapati dijual pada harga RM130 hingga RM150. Sehubungan itu, kita mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada premis tersebut keesokannya.

“Bagaimanapun tiada jawapan balas selepas tempoh diberikan iaitu tiga hari bekerja berakhir,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di kedai tersebut hari ini.

Restoran berkenaan beroperasi sejak dua tahun lalu dan diusahakan seorang lelaki tempatan berusia 50-an.
Ab. Ghani berkata, berikutan gagal membalas notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti

Pencatutan 2011, pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 akta sama.
Mengikut seksyen itu, jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Setakat ini hanya sup itu yang dijual mahal manakala makanan lain masih pada harga berpatutan.
“Siasatan dibuat dengan menilai bil serta penjualan makanan di premis ini dan hasilnya mendapati memang berlaku penjualan sehingga mencapai harga RM150,” katanya.

Tambahnya, ini merupakan kes pertama melibatkan kepala ikan dan siasatan kes akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.


sumber:http://ift.tt/1QC6OhH


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire