jeudi 30 avril 2015

Jahara bidas lima Adun DAP


Jahara Abdul Hamid

GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid hari ini membidas tindakan lima Anggota Dun daripada DAP yang bertindak melanggar peraturan apabila tidak memakai pakaian rasmi pada istiadat perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga persidangan Dun Ke-13 hari ini.

Jahara berkata, tindakan kesemua Adun itu yang hanya mengenakan sut berwarna hitam dan berbaju kurung jelas menonjolkan sikap dan perbuatan mereka yang tidak menghormati Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

"Saya tidak tahu mengapa mereka sering melanggar peraturan, tetapi ia sudah menjadi amalan dalam kalangan anggota DAP sejak 2008 lagi dengan tidak mengenakan pakaian rasmi ketika menghadiri upacara perasmian Dun," katanya kepada pemberita selepas perasmian penggal ketiga sidang Dun di sini.

Jahara yang juga Adun Teluk Air Tawar turut melahirkan rasa kecewa terhadap Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang yang dilihat tidak menggunakan kuasanya untuk menegur anggota dewan yang tidak mengenakan pakaian rasmi.

Pada majlis perasmian itu lima Adun yang tidak memakai pakaian rasmi ialah Adun Seri Delima, RSN Rayer, Soon Lip Chee (Jawi), Yap Soo Huey (Pulau Tikus), Lydia Ong Kok Fooi (Berapit) dan A. Tanasekharan (Bagan Dalam).

Dalam perkembangan lain, Jahara turut bersetuju dengan saranan Abdul Rahman untuk membina bangunan Dun baharu yang lebih menjamin keselesaan dan serba moden.

Katanya BN sebelum ini pernah mencadangkan pembinaan bangunan baharu itu memandangkan bangunan sedia ada sudah tidak mampu untuk menampung kapasiti pertambahan bilangan kawasan Dun sedia ada.

"Selain memerlukan ruang pejabat yang lebih selesa, kita juga harus memikirkan faktor kedudukan Dun yang selamat. Ini kerana sekarang ini kita berada di lokasi yang agak mudah untuk dibolosi oleh orang luar yang boleh melakukan perkara yang di luar jangkaan," katanya.

Terdahulu Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya menyarankan agar kerajaan negeri membina bangunan Dun yang baharu bagi menampung pertambahan jumlah kawasan Dun. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire