mardi 28 avril 2015

Tahap pengangkutan awam di landasan positif


KUALA LUMPUR 28 April – Pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah inisiatif meningkatkan sistem pengangkutan awam di bandar berada pada landasan positif dalam usaha meningkatkan tahap perkhidmatan rel, bas dan teksi dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurut Laporan Tahunan 2014 Program Transformasi Kerajaan (GTP), pencapaian itu diukur berdasarkan jumlah pengguna pengangkutan awam yang meningkat empat peratus iaitu sebanyak 455,728 pengguna pada waktu puncak dicatatkan pada tahun lalu berbanding 437,525 (2013).

Kata laporan itu, tahap kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan tersebut juga meningkat sebanyak 86 peratus daripada 71 peratus dalam tempoh sama.

Selain itu, laporan tersebut memberitahu, di bawah inisiatif itu telah berjaya memastikan 97.5 peratus perkhidmatan tren komuter tiba tepat pada masa ketika waktu puncak.

“Sebanyak 2,407 tempat letak kenderaan telah ditambah di empat stesen perkhidmatan rel di sekitar Lembah Klang demi memberi kemudahan kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut manakala perkhidmatan bas GoKL City pula mencatatkan sebanyak 35,000 pengguna.

“Bagi meningkatkan perkhidmatan teksi, sebanyak 3,788 daripada 6,960 teksi telah mencapai tahap terbaik setanding di peringkat ASEAN, selain memperkenalkan model Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang diinisiatifkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata laporan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire