Najib Tun Razak menandatangani plak pelancaran Hotel St. Regis Langkawi sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor (kanan) dan Peter Sondakh (kiri) di hotel tersebut di Langkawi, semalam. UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli.
LANGKAWI 28 April – Hotel St. Regis Langkawi bakal menjadi sebuah pusat penginapan ikonik bagi pulau peranginan ini apabila dibuka secara rasmi pada November ini.
Hotel berhampiran pekan Kuah yang menawarkan 85 bilik dan tiga vila itu menjanjikan pemandangan indah Selat Melaka kepada para tetamu yang mengimpikan percutian mewah di Langkawi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata, hotel tersebut akan dapat meningkatkan tahap kemewahan landskap pelancongan pulau ini setaraf dengan Bali dan Monaco.
“Bersempena dengan penganjuran Komuniti Ekonomi ASEAN pada tahun ini dan juga kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kita akan komited mentransformasikan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.
Najib dalam kenyataan sama menyatakan rasa gembira kerana diberi peluang menjadi hos kepada pemimpin ASEAN di Hotel St. Regis Langkawi bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis prapelancaran hotel milik Intergrated Nautical Resort Sdn. Bhd. (INR), sebuah syarikat usaha sama di antara Kumpulan Rajawali, Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) oleh Perdana Menteri di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Kumpulan Rajawali, Tan Sri Peter Sondakh.
Sementara itu, Pengerusi INR, Datuk Dr. Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, hotel tersebut mampu menjadi sebuah platform untuk meningkatkan strategi Blueprint Langkawi.
Selain itu, katanya, hotel itu secara tidak langsung akan dapat memperkukuh segmen percutian mewah dan meningkatkan aktiviti pelancongan di pulau ini.
“Apabila siap sepenuhnya pada tahun ini, Hotel St. Regis Langkawi akan menyertai portfolio lebih daripada 30 Hotel St. Regis yang terkenal di seluruh dunia,” ujarnya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire