JAFPERI OTHMAN (tengah) beramah mesra dengan para penerima dalam Majlis Penyampaian Cek Putra Bersama Usahawan Belia Perlis di Kangar, Perlis, kelmarin.
KANGAR 1 April - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perlis telah memperuntukkan sebanyak RM252,000 di bawah program Putra bagi memberi pinjaman perniagaan kepada seramai 32 usahawan kecil di negeri ini.
Pengarahnya, Zahari Aziz berkata, program pembiayaan itu diwujudkan khusus untuk membantu usahawan kecil dinamik yang terdiri daripada golongan belia dan generasi muda yang mahu memulakan perniagaan.
“Kelebihan pembiayaan ini tidak dikenakan faedah dengan penerima hanya perlu menjelaskan semula pinjaman antara RM5,000 hingga RM10,000 itu kepada Mara dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam majlis Penyampaian Cek Putra Bersama Usahawan Belia Perlis di Bangunan Mara di sini, semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Dan Prasarana Awam negeri, Jafperi Othman.
Penerima pinjaman tersebut, Elisa Said, 25, memberitahu, dia merasa bertuah kerana pembiayaan itu membolehkannya untuk merancang perniagaan yang lebih besar.
“Saya menyewa sebuah kiosk di Arked Mara untuk menjual tudung dan sebuah lagi kedai di Pasar Sena iaitu perniagaan kafe vendor,” katanya yang memberitahu, sebelum ini dia memulakan perniagaan kecantikan dan tudung secara dalam talian.
Bagi Nor Aisar Rashidi, 23, dengan pembiayaan itu, dia berharap akan dapat menambah stok barangan untuk syarikat Daily Planet miliknya yang menyediakan perkhidmatan grafik, percetakan dan pengiklanan.
“Saya amat menghargai bantuan Mara ini kerana ia memberi ruang untuk peniaga muda seperti saya yang ingin menggunakan kemahiran bagi berjaya dalam perniagaan,” ujarnya.
Lulusan Kolej Komuniti Melaka dalam bidang Multimedia tersebut turut berminat menggunakan peluang pembiayaan itu supaya hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah penyertaan bumiputera di dalam perniagaan tercapai.
Asiah Kadir, 40, yang mengusahakan perniagaan keropok lekor pula berharap dapat menggunakan pembiayaan ditawarkan dengan sebaik mungkin.
“Saya akan menggunakannya sebagai modal pusingan bagi mengembangkan lagi perniagaan keropok lekor di negeri ini,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire