mercredi 25 mars 2015

SPRM beku RM23 juta dalam akaun bank



KUALA LUMPUR 25 Mac - Sejumlah RM23 juta wang dalam simpanan dan 240 akaun bank dibeku dalam siasatan berhubung kes melibatkan pembekalan barangan dan peralatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), baru-baru ini.


Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, selain itu, wang tunai lebih RM200,000 turut dirampas dan 13 kereta mewah disita.



Beliau berkata, antara jenama kereta mewah yang disita ialah Lamborghini, BMW, Mercedes-Benz dan Audi.



“Dalam operasi ini, SPRM turut merampas sejumlah jam tangan berjenama mewah seperti Louis Vuitton, Patek Philippe, Tag Heuer dan Frederique Constant,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Beliau mengesahkan, daripada 16 orang yang ditahan itu, enam orang merupakan anggota TLDM, manakala baki adalah orang awam yang kebanyakannya adalah ahli perniagaan dan orang tengah.



“Pegawai dan anggota TLDM terdiri daripada pegawai yang berpangkat Pegawai Memerintah, Leftenan Komander, Leftenan Tentera Laut dan Laskar Kanan,” katanya.



Mohd. Jamidan turut memberitahu, kesemua mereka ditahan pada 9 Mac dan 11 Mac lalu di Kuala Lumpur, Manjung, Ipoh dan Lumut.



“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.



“Kesemua 16 orang terbabit telah dibebaskan selepas ditahan reman antara tujuh hingga 10 hari,” katanya sambil menjelaskan siasatan kes itu masih dijalankan.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire