mercredi 25 mars 2015

Petron sedia bekal petrol Euro 4






Faridah menunjukkan kad Petron Miles selepas melancarkan kempen Fuel Happy Petron di Genting Highlands, baru-baru ini.





PETRON Malaysia Refining & Marketing Berhad (Petron) sudah bersedia memperkenalkan petrol Euro 4 bagi RON97 bermula September ini seperti yang dirancang oleh kerajaan.



Ketua Dagangan Runcit Petron, Faridah Ali berkata, buat masa ini, Petron sedang bekerjasama dengan pemain industri lain dan kerajaan bagi menjayakan penggunaan petrol Euro 4 di negara ini.



“Malaysia merupakan pasaran terkawal dan kami (pemain industri) tidak boleh melakukannya sesuka hati dan kerana itu kami bekerjasama dengan kerajaan bagi pelaksanaan Euro 4 dan diikuti Euro 5 selepasnya.



“Daripada segi jangka masa pelaksanaannya pula, kami semua masih lagi dalam perbincangan dengan pemain industri minyak dan gas (O&G) bersama Jabatan Alam Sekitar (DOE),” katanya kepada media selepas merasmikan kempen Fuel Happy Petron di Genting Highlands, baru-baru ini.



Faridah berkata, bagi memastikan Petron bersedia sepenuhnya apabila kerajaan mengumumkan penggunaan petrol Euro 4, pihaknya telah melakukan pelaburan untuk kilangnya bagi memenuhi kehendak kerajaan.



“Apa yang penting kami sudah bersedia bila kerajaan umumkan penggunaan petrol Euro 4 dan kami akan bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakannya walaupun melibatkan pelaburan tinggi,” katanya.



Menurut Faridah, kerajaan hanya akan memperkenalkan penggunaan petrol Euro 4 bagi RON97 dan tidak melibatkan diesel bagi tahun ini.



Pada majlis sama, Petron turut mengumumkan kesemua 550 stesen yang diambil alih daripada Esso dan Mobil telah sepenuhnya dijenamakan kepada Petron.



“Untuk 2015 kami bakal membina hampir 50 stesen Petron baharu di seluruh negara yang dijangka siap secara berperingkat bermula tahun ini dan 2016 dengan pelaburan bagi sebuah stesen dianggarkan RM5 juta hingga RM20 juta,” katanya.Sementara itu, kempen Fuel Happy Petron dijalankan bagi memberikan pelanggan hadiah istimewa pada setiap minggu sepanjang bulan bermula April hingga Disember 2015 di mana-mana stesen Petron yang mengambil bahagian.



Faridah berkata, melalui kempen itu juga, Petron menyasarkan untuk mengukuh dan meningkatkan kecemerlangan perkhidmatannya di setiap stesen dalam menjadikan ia jenama pilihan di negara ini.



"Sudah pastinya kami mempunyai bahan api bertaraf dunia, namun apa yang membezakan Petron adalah perkhidmatan istimewa yang lebih dekat dengan pelanggan di mana mereka boleh merasai pengalaman ini setiap kali mereka pergi ke stesen kami.



"Bagi menambah keceriaan, Petron menjalin usaha sama dengan pemilik kedai kopi tempatan bagi menawarkan kopi yang dibancuh segar untuk pelanggan ketika mereka menerokai Malaysia dan melalui bandar-bandar di Ipoh, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Lumpur, Kampar dan Pulau Pinang," katanya.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire