Mak Intan meneruskan legasi Pak Mie, bagi memastikan kesinambungan operasi pusat perlindungan haiwan yang dimulakan suaminya, sejak lima tahun lalu. - Foto arkib TRP
GEORGE TOWN, 26 Mac: Balu kepada pencinta haiwan, Azmi Ismail atau Pak Mie, Halijah Idris hari ini membuka akaun baru, bagi memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan untuk meneruskan legasi suaminya.
Halijah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Intan ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, dia telah pergi ke bank hari ini untuk mengeluarkan wang, bagi membeli makanan buat 500 ekor anjing dan kucing di rumah perlindungannya di Alor Star, namun transaksi itu ditolak sebanyak tiga kali.
Saya tidak tahu kenapa ia berlaku, jadi saya membuat keputusan untuk buka akaun baru, katanya merujuk kepada akaun Maybank miliknya.
The Rakyat Post semalam menyiarkan nombor akaun Mak Intan, bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan.
Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru ini, sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian, menerusi akaun barunya 68368860-36 di Public Bank.
Dia turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kepadanya, bagi memastikan kesinambungan operasi pusat perlindungan itu.
Pusat perlindungan berkenaan dibuka lima tahun lalu, oleh suaminya yang meninggal dunia Ahad lalu, akibat serangan strok.
Ia memerlukan perbelanjaan RM500 sehari, termasuk 40 kilogram beras, ayam, telur, ikan dan bekalan perubatan, di samping makanan tambahan buat 500 ekor anjing serta kucing itu.
Read more: http://ift.tt/1M5gTE5
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire