samedi 25 avril 2015

Tun M: Tunku Abdul Rahman lebih bijak



Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
< 1 / 1 >
KUALA LUMPUR – “Tunku Abdul Rahman percaya sekiranya kekayaan negara dikongsi bersama, maka kita boleh hidup aman. Mula-mula saya tidak faham dan banyak menentang beliau, kini saya sedar bahawa beliau lebih bijak dari saya,” demikian ujar bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, ideologi tersebut yang digunakan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan sahaja menyebabkan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan, malah turut menyatukan semua kaum sehingga ke hari ini.

“Negara kita pada masa itu sedang menuntut kemerdekaan. Kata British, negara ini tidak boleh merdeka kerana orang Melayu akan rampas harta kaum Cina dan India untuk diberi dan dikongsi bersama kaum Melayu sahaja.

"Kata mereka, huru-hara dan peperangan akan berlaku sekiranya Tanah Melayu dimerdekakan. Permusuhan antara kaum juga akan berlaku,” katanya ketika bercakap di program Bicara Negarawan yang diadakan di Kelab K, Taman Melawati di sini, semalam.

Beliau berkata, keadaan huru-hara tidak berlaku kerana pemimpin negara ini bukan penyangak atau lanun yang suka merampas hak dan harta orang lain.

“Pemimpin kita seperti Tunku Abdul Rahman percaya bahawa negara ini boleh diduduki masyarakat pelbagai kaum, budaya dan bangsa. Beliau percaya lebih baik sekiranya kita kongsi segala yang ada di negara kita daripada kita mengambil semuanya untuk hak kita.

“Jika kita terus menuntut dan merampas harta yang bukan hak kita, akan timbul pelbagai peperangan dan negara tidak akan dapat dimajukan, kita akan terus miskin,” katanya.

Katanya, pada masa itu beliau tidak nampak realiti dalam pendapat Tunku Abdul Rahman dan disebabkan itu beliau sering menentang pentadbiran Perdana Menteri pertama negara itu.

“Sekarang ini baru saya faham bahawa beliau lebih bijak daripada saya. Kesanggupan beliau untuk berkongsi kuasa dan kekayaan menyebabkan negara kita peroleh keamanan,” katanya.

Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri sejak 1957 hingga 1963 dan merupakan pemimpin yang banyak menabur jasa kerana memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Hasil usaha beliau, negara memperoleh kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Dr Mahathir dalam pada itu turut menyifatkan sebagai kewujudan golongan ekstremis atau pelampau dalam masyarakat sebagai sesuatu yang normal dalam sesebuah negara.

“Itu biasa sahajalah. Di mana-mana pun akan wujud golongan sebegini. Golongan yang bersifat keterlaluan ini memang tidak pernah puas hati.

“Tetapi umumnya, negara kita ini bukan menghadapi huru-hara sebaliknya negara ini aman dan tenteram dan kita dapat bangunkan negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan,” katanya lagi.




sumber:http://ift.tt/1EDPuWq


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire