(Dari kiri), Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Pembangunan PMINT, Mohamad Latif; Pengurus Bahagian Perundangan dan Integriti, Azmal Azaddin; Timbalan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Razali Puteh dan M. Harith Hassan memegang buku Kod Etika PMINT pada majlis perhimpunan khas jubli emas PMINT di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. utusan/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU 1 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang meraikan sambutan 50 Tahun Jubli Emas hari ini terus melangkah ke depan dalam membangunkan beberapa projek mega di negeri ini membabitkan pelaburan hampir RM1 bilion.
Projek pembangunan itu termasuk mewujudkan jajaran atau medan PMINT di tengah-tengah bandar raya ini, pembangunan Bandar Baharu Kerteh di Kemaman serta pembinaan fasa baharu perumahan KP Perdana di sini termasuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Pengurus Besar PMINT, M. Harith Hassan berkata, projek medan PMINT yang terdiri daripada pembinaan tiga buah kompleks beli-belah iaitu Paya Bunga (PB) Plaza, PB Square dan PB Sentral selain menaik taraf stesen bas sedia ada.
Di samping itu jelasnya, medan PMINT turut menempatkan dua buah bangunan milik perbadanan iaitu Menara PMINT dan Wisma PMINT.
Menurutnya, projek mega medan PMINT itu melibatkan pelaburan kira-kira RM600 juta dan keseluruhan projek tersebut dijangka lengkap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
“Bagi PB Square yang sudah mula dibuka kepada orang ramai sejak 1 Disember lalu akan dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 Mei ini bersempena sambutan 50 tahun Jubli Emas PMINT hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Perhimpunan Khas dan Pelancaran Sambutan 50 Tahun Jubli Emas PMINT di Menara PMINT di sini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Razaki Puteh serta Pengurus Bahagian Perundangan dan Integriti PMINT, Azmal Azaddin.
Mengenai pelan pembangunan Bandar Baharu Kerteh di Kemaman, M. Harith berkata, projek yang melibatkan kawasan seluas 19.2 hektar (48 ekar) itu akan dibangunkan membabitkan antara tiga hingga empat fasa.
Jelas beliau, fasa pertama dijangka bermula dalam tempoh terdekat dengan membina 15 unit premis kedai, 24 unit rumah kediaman melibatkan pelaburan RM7 juta.
“Keseluruhan projek mega untuk bandar baharu Kerteh ini dijangka melibatkan keseluruhan jumlah pelaburan kira-kira RM150 juta. Untuk fasa-fasa seterusnya, projek mega lain seperti hospital swasta, hotel dan kompleks beli-belah juga akan kita bangunkan,” ujarnya.
Katanya, projek perumahan KP Perdana pula yang sehingga kini menempatkan kira-kira 600 unit kediaman akan diteruskan dengan fasa keenam untuk membina 16 unit rumah teres dua tingkat yang setiap sebuah berharga RM300,000.
Di samping rumah kediaman, jelas M. Harith, PMINT akan membina kira-kira 200 lagi unit pangsapuri di bawah program PR1MA di kawasan seluas kira-kira 1.4 hektar di KP Perdana, tidak lama lagi.
“Apabila siap nanti, KP Perdana akan menempatkan lebih 1,000 unit rumah yang keseluruhannya melibatkan keluasan kira-kira 27.6 hektar,” katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire