KUALA LUMPUR 1 April - Hampir kesemua jenama kereta yang dipasarkan di negara ini mengumumkan penurunan harga kereta masing-masing seiring dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula hari ini.
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengurangkan harga keretanya antara 0.1 peratus hingga 1.6 peratus, tetapi mengekalkan harga alat gantinya dengan menyerap kesan pelaksanaan cukai baharu tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha kerajaan selain mahu memenuhi jangkaan pelanggan yang mahukan kereta mampu milik dan sesuai dengan wang yang dibelanjakan.
Selain itu, dua jenama kereta Perancis, Peugeot dan Citroen mengumumkan penurunan harga kereta secara purata 0.01 peratus bermula hari ini.
Kedua-dua jenama tersebut yang diedarkan oleh Kumpulan Naza mengumumkan kesemua 14 model Peugeot diturunkan harga antara RM13.50 hingga RM15.30 kecuali tiga modelnya yang belum disahkan harga baharu iaitu 508 SW GT, RCZ (A) dan RCZ (M). Peugeot diedarkan oleh Nasim Sdn. Bhd.
Sementara, Naza Euro Motors Sdn. Bhd., yang mengedarkan Citroen mengumumkan penurunan harga bagi keempat-empat modelnya iaitu DS3, DS4, DS5 dan Grand C4 Picasso (Diesel).
Pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), mengurangkan harga kenderaan Nissan antara 0.3 peratus hingga dua peratus berkuat kuasa mulai hari ini bagi model-model pemasangan tempatan (CKD).
Jelas ETCM dalam kenyataannya, pengurangan harga itu adalah berbeza di antara model-model. Bagaimanapun jelasnya, harga model yang diimport sepenuhnya (CBU) kekal tidak berubah.
Hari ini juga, jenama kereta mewah, Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan penurunan harga seiring pelaksanaan GST sehingga RM10,000 sebuah. Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penggunanya, Mark Raine berkata, penurunan harga itu memenuhi saranan kerajaan dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut melaksanakan pengurangan harga keretanya antara RM200 hingga RM2,000 sebuah mengikut model.
Semalam, pengeluar kereta nasional Proton turut mengumumkan pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model keluarannya. Langkah sama turut dibuat oleh Honda dan Toyota yang mengumumkan penurunan harga kereta masing-masing di antara RM500 hingga RM4,000 sebuah mengikut model.
Honda Malaysia mengumumkan pengurangan harga antara RM500 sehingga RM2,500 sebuah bagi model-model CKD keluarannya manakala UMW Toyota pula mengisytiharkan penurunan sehingga RM4,000 sebuah mengikut model.
Awal Januari lalu, Institut Automotif Malaysia (MAI) menjelaskan harga kereta di pasaran tempatan akan mengalami penurunan harga kereta antara satu hingga tiga peratus melalui pelaksanaan GST berdasarkan simulasi yang dibuat institut itu ke atas struktur rantaian pengeluaran kereta.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire