Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecik: Abdul Razak
TEMERLOH - Pertubuhan Angkatan Bahaman mengecam penangkapan 80 aktivis dan wakil rakyat dalam bantahan anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kelana Jaya kelmarin.
Presidennya, Abdul Razak Endut, menganggap, penahanan tersebut adalah satu pencabulan terhadap keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi yang mana rakyat sepatutnya berhak menyuarakan apa juga pendapat.
Menurutnya, rakyat berhak menyuarakan pandangan terhadap apa pun cadangan dan dasar yang ingin dilaksanakan kerajaan kerana dalam tuntutan demokrasi itu, sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran negara.
"Apa yang mengecewakan apabila rombongan mahukan jawapan daripada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad beliau hanya menjawab dua daripada 106 soalan dikemukakan berkenaan GST.
"Salah satu jawapan yang diberikan berkaitan perlaksanaan GST adalah 'perintah dari Parlimen', ini satu jawapan yang sangat lemah diberikan pemimpin jabatan kerajaan," katanya.
Abdul Razak berkata, jawapan yang sangat lemah itu menggambarkan sikap tidak profesionalisme seorang pegawai jabatan kerajaan berpangkat besar yang sepatutnya lebih dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata, amatlah tidak adil apabila sekurang-kurangnya 60 pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk mengawal bantahan ini sedangkan aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar.
"Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa pun alasan yang digunakan terhadap penangkapan aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti GST ini, adalah tidak adil dan tidak wajar sama sekali.
"Tindakan menangkap dan menghukum rakyat serta wakil rakyat yang mahukan penjelasan terperinci daripada kerajaan secara khususnya dalam pelaksanaan GST hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini.
"Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan GST diadakan dan menggesa rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil mengemukakan persoalan berkaitan pelaksanaan GST ini," katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan seramai 79 individu termasuk wakil rakyat ditahan setelah terbabit dalam demonstrasi membantah GST di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Kelana Jaya, semalam.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire