dimanche 1 mars 2015

Ular sawa 90kg, lapan meter cemaskan penduduk kampung



Anggota JPAM Segamat menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap di Kampung Sepinang.





SEGAMAT - Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Segamat berjaya menangkap seekor ular sawa betina seberat 90 kilogram (kg) dengan panjang lapan meter selepas melalui detik-detik mencemaskan dekat Kampung Sepinang, di sini, petang kelmarin.



Pegawai JPAM Segamat, Staf Muda Mohd Nazlan Ruslan berkata, anggotanya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang terlihat ular tersebut berhampiran rumah penduduk kira-kira pukul 3.47 petang.




“Bertindak atas maklumat dan laporan awal yang diterima, seramai empat anggota saya telah bergegas ke kawasan tersebut dengan membawa kelengkapan peralatan untuk menangkap ular kerana dilaporkan ular berkenaan sangat besar.



“Kerja-kerja menangkap ular tersebut juga agak mudah kerana reptilia berkenaan tidak menyorok di dalam semak sebaliknya hanya melingkar berhampiran kandang kambing milik penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian.



Menurutnya, operasi menangkap ular tersebut mengambil masa lebih kurang 10 minit dan haiwan tersebut juga bertindak agresif dengan cuba menyerang anggotanya dan penduduk kampung yang berhampiran.



Katanya, ular tersebut akhirnya berjaya ditangkap apabila kepalanya dijerut menggunakan tali sebelum penduduk kampung membantu bersama-sama mengangkat ular berkenaan ke dalam sangkar yang disediakan oleh pihak JPAM.



“Ular ini berkemungkinan sedang keluar mencari makanan di kawasan berhampiran sebelum ditemui oleh penduduk kampung dan ini merupakan tangkapan pertama ular terbesar di daerah Segamat sehingga bulan Februari tahun ini.



“Ular ini akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Segamat untuk tindakan selanjutnya dan saya nasihatkan kepada orang awam jangan terus bertindak sesuka hati sekiranya terserempak haiwan ini kerana bimbang boleh mencederakan dan mendatangkan bahaya,” katanya.



Menurutnya, sepanjang bulan Januari lalu, JPAM Segamat telah berjaya menangkap sebanyak 26 ekor ular dan 28 ekor ular pada bulan Februari lalu serta meminta orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri berhadapan reptilia tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire