Arifuddin Habib (tengah) menyerahkan replika cek kepada Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam Majlis Pelancaran Projek Pembiayaan Mikro Islamik UUM-KEDA di Sintok, baru-baru ini.
ALOR SETAR 24 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menjalinkan usahasama untuk membangunkan projek Pembiayaan Mikro Islamik.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, projek itu dibangunkan dengan memberi fokus kepada golongan sasaran iaitu fakir miskin yang dimulakan dengan pembangunan pengkalan data bersepadu peringkat kampung.
Katanya, inovasi projek itu adalah menggunakan kaedah pengesanan (tracking) golongan sasaran secara intensif dengan mengumpulkan maklumat aliran tunai masuk dan keluar mereka.
“Projek ini juga akan membangunkan produk pembiayaan mikro Islamik terutamanya Musyakah dan Mudarabah, diikuti dengan Al-Qardhul Hassan, Al-Ijarah dan Murabahah.
“Projek pembiayaan mikro ini diharap mampu mendatangkan petunjuk positif yang dapat mengubah nasib mereka demi memberi masa depan yang terbaik kepada anak-anak mereka kelak,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembiayaan Mikro Islamik UUM-KEDA di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar KEDA, Arifuddin Habib yang juga menyerahkan replika cek bernilai RM49,720 kepada pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Koridor Utara (NCRC) UUM.
Menurut Mohamed Mustafa, projek berkenaan akan meneliti maklumat kemiskinan daripada tujuh sumber yang terbabit dengan bantuan golongan fakir seperti Pejabat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, e-Kasih dan Pejabat Kesihatan.
Terdahulu, pada majlis sama, ahli ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid yang juga Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah mengupas isu jurang agihan pendapatan dan kekayaan di Malaysia dalam siri wacana intelektual bertajuk 'Inequality In Malaysia'.
Dalam sesi tersebut, Dr. Muhammed berkata, jurang pendapatan relatif antara bandar dan luar bandar pada tahun 2012 adalah sama pada tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dari British iaitu pada tahun 1957 dan jurang pendapatan antara kaum khususnya, semakin ketara sejak tahun 2009.
“Dari segi pemilikan aset, lebih 70 peratus yang tidak mempunyai aset ini adalah kaum bumiputera. Namun, dari segi kaum, majoriti penduduk di negara kita ini, baik bangsa Melayu, kaum Cina atau India tidak mempunyai sebarang aset kewangan.
“Malah, jika dilihat pada pemilikan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kurang daripada separuh kaum bumiputera di negara ini sahaja yang memiliki akaun ASB,” katanya.
Katanya, hasil lanjutan kajian juga mendapati majoriti pemilik akaun tersebut hanya mempunyai simpanan kira-kira RM500 sahaja dalam akaun mereka.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire