mercredi 1 avril 2015

Hak pengguna dapatkan resit




Seorang pekerja menunjukkan resit tertera nombor pendaftaran GST syarikat.



JOHOR BAHRU - Pengguna berhak untuk mendapatkan resit lengkap tertera nombor pendaftaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) syarikat atau premis dikunjungi, sebagai bukti urus niaga jual beli dilakukan.



Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, langkah itu bagi mengelakkan pengguna rasa tidak berpuas hati dengan harga diletakkan peniaga terhadap sesuatu barangan atau jualan.



"Resit menjadi bukti bagi sebarang urus niaga, jika sekadar cakap-cakap tapi tiada bukti melalui resit berkaitan GST, sukar pihak kami untuk ambil tindakan.



"Setiap jualan perlu keluarkan resit dan hak pengguna untuk meminta resit. Jika kedai yang anda pergi tidak mengeluarkan resit, carilah alternatif lain kerana kita tidak mahu pengguna tidak puas hati terhadap harga barangan atau perkhidmatan tertentu gara-gara tiada resit," katanya di sini semalam.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir peniaga tidak mengeluarkan resit, namun mengenakan caj baharu terhadap barangan, perkhidmatan atau makanan yang dijual dengan alasan GST.



Nor Nekman berkata, KPDNKK akan membuat siasatan terhadap perkara dilaporkan jika terdapat aduan daripada pengguna kononnya peniaga mengenakan caj harga baharu atas alasan GST, namun tiada resit dikeluarkan.



"Menjadi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika tidak mengeluarkan resit yang tertera sama ada barangan dikenakan GST atau tidak.

"Kesalahan dimaksudkan adalah tidak memberi maklumat (kepada pengguna)," katanya.



Selain itu, beliau turut memberitahu sejumlah 224 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan hasil pemeriksaan di 31,298 premis menerusi Ops Catut 1 di negeri ini, bermula 15 Jan hingga 31 Mac lalu.



"Kita turut mengeluarkan kompaun bernilai RM33,700 dan 30 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire