mardi 24 mars 2015

Henti komen persoal Islam atau hudud






Khalid Abu Bakar



KUALA LUMPUR 24 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang komen yang mempersoal agama Islam atau hudud secara terbuka kerana dibimbangi mengundang tindak balas daripada militan Negara Islam (IS).


Sekiranya perkara itu tidak diendahkan, tegas beliau, tidak mustahil tragedi serangan berdarah terhadap pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo di Perancis dan di Kafe Lindt di Martin Place, Sydney, Australia yang dikaitkan dengan IS itu juga boleh berlaku di Malaysia.



Malah, Khalid juga mengingatkan bahawa serangan balas pernah berlaku contohnya seperti tindakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Dr. Joe Fernandez belasan tahun dahulu.



“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedar akan kemampuan kumpulan tersebut serta tujuan militan itu ditubuhkan dan telah memaklumkan bahawa sebilangan rakyat kita berada di Syria bersama-sama rakyat lebih 40 buah negara yang berjuang atau berjihad kononnya di sana.



“Jadi saya ingin mengingatkan orang kita yang terus membuat komen-komen tentang agama Islam atau hudud, jangan buat komen secara terbuka kerana ini akan mengundang tindak balas daripada kumpulan IS,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander dan Komandan di Maktab PDRM di Cheras, di sini hari ini.



Sebelum ini, PDRM telah mengambil tindakan termasuk menahan individu-individu yang didapati sengaja mengeluarkan kenyataan sensitif seperti menghina agama Islam menggunakan laman sosial Twitter sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.



Antaranya Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang ditahan kelmarin berhubung dua kenyataannya tentang undang-undang hudud di lama sosial Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.



Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, serangan balas tersebut mungkin datang daripada kumpulan IS yang berada di Syria mahupun rakyat tempatan yang terpengaruh dengan dakyah militan berkenaan.



“Walaupun PDRM memantau rakyat kita yang ke sana, yang balik dan yang kita dapat tahan kita tahan tetapi jumlahnya ramai.



“Mungkin ada yang berjaya menyusup masuk, mungkin dalam kalangan rakyat kita. Kita tidak tahu bila mereka akan bertindak berhubung ulasan sensitif terhadap Islam, jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku elok jangan mengeluarkan komen sedemikian rupa,” ujarnya.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire