SINAI 2 April - Sebanyak 15 anggota tentera maut dan 19 yang lain cedera dalam satu serangan yang dilakukan kumpulan militan Negara Islam (IS) terhadap sebuah pusat pemeriksaan tentera di wilayah bergolak di utara Mesir di sini.
Pegawai keselamatan berkata, anggota kumpulan militan IS itu juga berjaya merampas dua kereta kebal, selain menyebabkan tiga orang awam terkorban.
Katanya, empat serangan lain yang dilakukan terhadap beberapa pusat pemeriksaan tentera berlaku pada masa yang sama turut mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan 13 yang lain.
Empat serangan yang berlaku itu bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada serangan utama di selatan pusat pemeriksaan di bandar Sheikh Zuweid, katanya.
Pegawai itu berkata, anggota militan itu turut menjadikan beberapa orang askar sebagai tebusan apabila mereka merampas dua kereta perisai dan melarikan diri.
Kumpulan penyerang itu juga didapati gagal menguasai kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat kerana anggota militan itu telah memandu ke pusat pemeriksaan berhampiran, katanya.
Anggota militan telah melancarkan satu siri serangan ke atas kompleks dan serangan hendap dalam beberapa bulan walaupun kempen ketenteraan besar-besaran bagi menekan pemberontakan dilakukan semakin meningkat di utara Sinai, yang bersempadan dengan Israel dan Genting Gaza. - AFP
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire